FOTO Hiasan
FOTO Hiasan
Idris Musa


MALAYSIA tidak boleh berdiam diri sebaliknya perlu bertindak balas terhadap semua kempen negatif terhadap minyak sawit.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerajaan tidak akan bertolak ansur dengan penolakan industri minyak sawit.

"Hari ini, Malaysia adalah pemain bertenaga dalam industri kelapa sawit global yang menghasilkan hampir 20 juta tan minyak sawit dan jumlah nilai eksport sebanyak RM67 bilion tahun lalu.

"Namun, industri minyak sawit menghadapi cabaran yang belum pernah terjadi sebelumnya dan terus menghadapi kempen anti-sawit dengan negara-negara pengguna khususnya di Kesatuan Eropah.

"Kita tidak boleh berdiam diri lagi. Kita perlu bertindak balas terhadap semua kempen negatif terhadap minyak sawit. Kita mesti bertindak balas secara rasional," katanya ketika berucap merasmikan Majlis Makan Malam Anugerah Kepimpinan Industri Minyak Sawit (PILA) 2017 di Hotel Shangri-La, Kuala Lumpur, malam ini.

Hadir sama, Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Mah Siew Keong dan Timbalannya Datuk Datu Nasrun Datu Mansur serta Pengerusi Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) Datuk Lee Yeow Chor.

Pada majlis itu, beliau turut menyampaikan Anugerah Kecemerlangan Sepanjang Hayat kepada Ketua Pegawai Operasi Felda Global Ventures Holdings S Palaniappan dan Anugerah PILA 2017 kepada bekas Ketua Pegawai Eksekutif MPOC Tan Sri Dr Yusof Basiron.

Gambar Asyraf Hamzah

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Oktober 2017 @ 10:49 PM