Nurul Hidayah Bahaudin


LELAKI berusia 32 tahun maut selepas ditikam oleh anak saudaranya di rumah mangsa di tingkat 12 sebuah Projek Perumahan Rakyat (PPR) Seksyen 8 Kota Damansara, Petaling Jaya, kira-kira jam 4 petang, hari ini.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din berkata, ketika kejadian, berlaku pergaduhan antara mangsa dan suspek yang berusia lingkungan 30-an di rumah berkenaan.

"Berdasarkan keterangan saksi iaitu kakak mangsa yang berada di dalam rumah berkenaan, suspek menikam mangsa di bahagian perut menggunakan pisau beberapa kali sebelum melarikan diri.

"Jiran mangsa yang menyedari kejadian itu membantu menghantar mangsa ke Hospital Sungai Buloh untuk mendapatkan rawatan lanjut," katanya.

Bagaimanapun, mangsa yang bekerja sebagai pengawal keselamatan disahkan meninggal dunia pada 5.15 petang di Unit Kecemasan hospital berkenaan akibat parah di perut.

Mohd Zani berkata, motif kejadian masih dalam siasatan.

"Usaha memburu suspek yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah agensi kerajaan sedang giat dijalankan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Oktober 2017 @ 1:06 AM