ADUN Pulau Tikus, Yap Soo Huey (dua dari kanan) menyampaikan sumbangan wang tunai kepada empat penduduk Ladang Hong Seng, Mount Eskrine. FOTO Rudy Syareme Sherifuddin
ADUN Pulau Tikus, Yap Soo Huey (dua dari kanan) menyampaikan sumbangan wang tunai kepada empat penduduk Ladang Hong Seng, Mount Eskrine. FOTO Rudy Syareme Sherifuddin
Rudy Syareme Sheriffudin


EMPAT pemilik rumah yang retak dan dipindahkan akibat tanah runtuh di Ladang Hong Seng, Mount Eskrine, Georgetown pada 29 September lalu menerima bantuan RM5,000 daripada kerajaan negeri, hari ini.

Bantuan kewangan disampaikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Tikus, Yap Soo Huey ketika membuat lawatan di Blok 3, Pangsapuri Pelangi, Gat Lebuh Maccalum, 10 pagi.

Yap berkata, sejak kejadian terbabit, empat keluarga itu terpaksa dipindahkan susulan kediaman mereka retak dan diancam mendapan tanah serius.

Beliau berkata, atas faktor keselamatan mereka ditempatkan sementara di Blok 3, Pangsapuri Pelangi, Gat Lebuh Maccalum selama dua atau tiga bulan.

Katanya, bantuan bencana tanah runtuh segera itu berjumlah RM5,000 setiap keluarga dan pemilik rumah turut diberikan surat tawaran pembelian rumah oleh kerajaan negeri.

"Kita mengharapkan bantuan ini dapat meringankan sedikit beban yang ditanggung mereka selepas berpindah ke sini," katanya.

Yap berkata, buat masa ini hanya tiga pemilik rumah sahaja berpindah ke Blok 3, Pangsapuri Pelangi, Gat Lebuh Maccalum manakala seorang lagi tinggal bersama ahli keluarga mereka di Ladang Hong Seng.

"Kami turut berbincang dengan jurutera Daerah Timur Laut apabila dimaklumkan beberapa kediaman penduduk mengalami rekahan besar akibat mendapan tanah selain dinasihatkan berpindah kerana tidak selamat, " katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Oktober 2017 @ 8:14 PM