ANGGOTA polis mengusung mayat Oon Gim Boon, 53, yang ditemui mati selepas terjun dari Pangsapuri Pelangi petang ini. FOTO Rudy Syareme Sheriffudin
ANGGOTA polis mengusung mayat Oon Gim Boon, 53, yang ditemui mati selepas terjun dari Pangsapuri Pelangi petang ini. FOTO Rudy Syareme Sheriffudin
Rudy Syareme Sheriffudin


LELAKI yang dipercayai mengalami tekanan jiwa ditemui mati selepas terjun dari tingkat sembilan Pangsapuri Pelangi, Gat Lebuh Macallum, Georgetown, 4 petang hari ini.

Lelaki berkenaan, Oon Gim Boon, 53, dari Lebuh Tye Sin, ditemui terbaring berhampiran kawasan parkir motosikal oleh orang ramai sebelum memaklumkan kepada polis.

Rakannya dikenali sebagai Wong, 71, berkata, Oon menghubunginya untuk membawanya ke Pangsapuri Pelangi konon untuk mengambil ubat.

Menurutnya, dia bersama mangsa menaiki motosikal, kemudian tiba ke Pangsapuri Pelangi sebelum mangsa naik ke tingkat sembilan.

Katanya, dia menunggu berdekatan motosikalnya sebelum dikejutkan oleh penduduk setempat apabila menemui mayat lelaki yang terjun dari tingkat sembilan.

“Dia beritahu saya mahu ambil ubat dari kawannya dan tidak tahu dia hendak bunuh diri sehingga sanggup terjun.

"Kejadian itu benar-benar mengejutkan saya dan semua penduduk di situ,” katanya.

Wong berkata, Oon sebelum ini pernah beberapa kali memberitahu hendak membunuh diri.

Menurutnya, Oon turut memaklumkan ada mengalami sakit jiwa dan turut memiliki kad orang kurang upaya (OKU) dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kerana ketidakupayaan fizikal.

Mayat lelaki berkenaan kemudian dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk bedah siasat.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Anuar Omar ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 January 2018 @ 6:24 PM