PISTOL buatan sendiri bersama peluru serta pisau yang dirampas anggota AKSEM dalam sekatan jalan raya di kilometer 1.3 Lebuhraya Utara-Selatan menghala ke Thailand.
PISTOL buatan sendiri bersama peluru serta pisau yang dirampas anggota AKSEM dalam sekatan jalan raya di kilometer 1.3 Lebuhraya Utara-Selatan menghala ke Thailand.
Muhaamad Hafis Nawawi


Alor Setar: Tindakan seorang lelaki warga Thailand memiliki sepucuk pistol buatan sendiri bersama empat butir peluru jenis 12 bore warna merah dan sebilah pisau yang disembunyikan dalam beg di bahagian belakang tempat duduk pemandu treler mengundang padah apabila dia ditahan Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) Bukit Kayu Hitam, dekat sini, Rabu lalu.

Ketua Polis Kedah Datuk Zamri Yahya berkata, dalam kejadian jam 1.30 tengah hari itu, lelaki terbabit berusia 38 tahun memandu treler dari arah Gurun sebelum ditahan AKSEM di kilometer (km) 1.3 Lebuhraya Utara-Selatan (NSE) menghala ke Thailand untuk pemeriksaan.

Menurutnya, ketika pemeriksaan itu, anggota AKSEM menemui sebuah beg berwarna hitam di bahagian belakang tempat duduk pemandu.

“Hasil pemeriksaan lanjut menemui sepucuk pistol buatan sendiri, sarung warna hitam, empat butir peluru jenis 12 bore warna merah dan sebilah pisau.

“Siasatan lanjut mendapati suspek masuk ke negara ini dengan memandu treler itu melalui pintu sempadan di Bukit Kayu Hitam pada pagi Rabu lalu untuk mengambil baja urea di Gurun sebelum dieksport ke Bangkok,” katanya ketika dihubungi semalam.

Zamri berkata, siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api 1971, Seksyen 8 (A) Akta Senjata 1960 dan Seksyen 7 (1) Akta Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.

“Suspek kini ditahan reman bagi membantu siasatan kerana memiliki barang terlarang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Jun 2016 @ 11:07 AM