NOR Akhzah  terpaksa menggunakan tongkat untuk bergerak sambil diperhatikan ibunya, Limah.
NOR Akhzah terpaksa menggunakan tongkat untuk bergerak sambil diperhatikan ibunya, Limah.
Shahrinnahar Latib


Kuantan: Seorang ibu tunggal dari Kampung Razali, di sini, terpaksa minum air panas bagi menghilangkan kesakitan selepas mengalami masalah buah pinggang bocor yang menyebabkannya hilang segala deria rasa.

Nor Akhzah Ghazali, 31, berkata, penyakit itu dihadapinya sejak lahir, namun mula menanggung kesakitan ketika berusia 13 tahun.

“Sakit itu saya tidak dapat bayangkan macam mana. Keadaan itu membuatkan saya terpaksa minum air panas yang menggelegak bagi mengurangkan kesakitan.

“Sebelum ini, saya masih mampu berjalan walaupun doktor melarang dengan menasihati saya menggunakan kerusi roda untuk bergerak, namun adakala saya hanya mampu mengengsot,” katanya.

Katanya, bukan dirinya saja diuji dengan masalah kesihatan, malah ibunya, Limah Ibrahim, 71, juga pesakit kronik sehingga terpaksa melakukan dialisis sebanyak tiga kali seminggu di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di sini.

Beliau yang juga orang kurang upaya (OKU) berkata, dalam kepayahannya bergerak dia terpaksa memandu kereta untuk menghantar ibunya yang menderita sakit buah pinggang sejak tujuh tahun lalu.

“Saya hanya boleh memandu dan terpaksa menunggu di dalam kereta selama empat jam ketika emak menjalani dialisis,” katanya.

Katanya, apa yang merisaukan adalah setiap kali dia dan ibunya serentak dirawat di hospital menyebabkan anak perempuan tunggalnya yang berusia lapan tahun terpaksa ke sekolah berjalan sejauh satu kilometer.

“Di rumah, kami hanya berempat termasuk abang yang juga tidak sihat kerana sering diserang demam panas,” katanya.

Dalam pada itu, Nor Akhzah berkata, kehidupan mereka sekeluarga bergantung kepada wang pencen arwah bapanya yang berkhidmat sebagai anggota polis.

“Dengan wang RM1,200 sebulan digunakan untuk menanggung kehidupan bersama ibu, abangnya, Mohd Saibatul Khadri, 43, dan anaknya,” katanya sambil menambah, orang ramai yang ingin menyalurkan sumbangan boleh menghubungi talian 011-25567759.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 September 2017 @ 5:28 AM