Hazira Ahmad Zaidi


SEJAK lebih setahun lalu, Nur Fadilah Hashim, 26, mengambil upah memotong sayur bagi menampung hidup ibunya yang kini menghidap penyakit buah pinggang kronik tahap lima.

Menurutnya, sejak ibunya, Faridah Taib, 54, disahkan menghidap penyakit buah pinggang, segala rutin hariannya berubah kerana perlu menguruskan keperluan ibu termasuk menyediakan makan dan minum.

"Akibat komplikasi penyakit kencing manis dan darah tinggi yang dihidapi ibu sejak 2001, ia memberi kesan kepada buah pinggangnya dan perlu menjalani rawatan dialisis di Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu, setiap dua minggu sekali.

"Saya dan adik bongsu, Nur Farahiyah, 19, akan bergilir-gilir menjaga ibu memandangkan dua lagi kakak masing-masing sudah berkahwin dan mempunyai tanggungjawab kepada keluarga," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Bechah, Tanjung Mas, Kota Bharu, baru-baru ini.

Anak ketiga daripada empat beradik ini berkata, sebelum sakit, ibunya bekerja mengambil upah memotong sayur, membersihkan rumah penduduk kampung serta melipat pakaian, namun sejak setahun lalu, ibu terpaksa berhenti kerja kerana keadaan kesihatannya tidak mengizinkan.

"Sejak arwah ayah, Hashim Daud meninggal dunia akibat serangan angin ahmar pada 2012, ibu melakukan pelbagai kerja untuk menyara kami sekeluarga, kini biarlah kami adik beradik pula yang menjaganya.

"Sebelum ini, bagi membantu meringankan beban kerja ibu, saya turut membantunya memotong sayur yang dihantar ke rumah kami pada setiap hari, namun kini semuanya dilakukan oleh saya sendiri selepas ibu sakit.

"Walaupun upah diperoleh sekitar RM30 sehari daripada kerja memotong sayur, namun ia sudah memadai untuk mengisi perut kami anak beranak selain abang ipar yang bekerja kampung ada juga menghulurkan sedikit bantuan kewangan," katanya.

Nur Fadilah berkata, mujurlah ibunya mendapat bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak RM250 sebulan yang boleh digunakan untuk tujuan perubatannya.

"Pada masa sama, sekiranya abang ipar atau kakak tidak dapat menghantar ibu ke hospital, saya atau adik akan menaiki kereta sewa untuk berulang-alik dari rumah ke hospital setiap kali ibu menjalani rawatan dialisis," katanya.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menghulurkan sumbangan ke akaun Bank Simpanan Nasional milik Faridah, 0350141000051901.

Nur Fadilah Hashim (kanan) menguruskan keperluan ibunya, Faridah Taib (kiri) yang menghidap penyakit buah pinggang tahap lima ketika ditemui di rumah mereka di Kampung Bechah, Tanjung Mas. FOTO/ HAZIRA AHMAD ZAIDI
Nur Fadilah Hashim (kanan) menguruskan keperluan ibunya, Faridah Taib (kiri) yang menghidap penyakit buah pinggang tahap lima ketika ditemui di rumah mereka di Kampung Bechah, Tanjung Mas. FOTO/ HAZIRA AHMAD ZAIDI

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Ogos 2020 @ 3:42 PM