Mangsa ditemui selamat oleh anggota penyelamat. FOTO ihsan polis
Mangsa ditemui selamat oleh anggota penyelamat. FOTO ihsan polis
Mohamad Azim Fitri Abd Aziz


PELANCONG Korea Selatan yang dilaporkan hilang pada Jumaat lalu di Berjaya Hills, Bukit Tinggi Bentong, ditemui selamat hari ini.

Kim Chae Won, 71, ditemui kira-kira 3 petang oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) bersama penduduk kampung Orang Asli selepas operasi mencari mangsa memasuki hari keempat.

Ketua Polis Daerah Bentong Superintendan Mohamad Mansor Mohd Nor berkata, lelaki itu ditemui kira-kira 1.5 kilometer dari Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) yang dibuka pada Jumaat lalu.

“Ketika ditemui lelaki terbabit dalam keadaan lemah dan terdapat buah-buahan di sekitarnya dipercayai dimakan mangsa,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam kejadian 3.30 petang Jumaat lalu, mangsa dilaporkan hilang oleh ahli keluarganya selepas kali terakhir dilihat berada di Japanese Tea House.

Mohamad Mansor berkata, mangsa kini sedang dirawat di Hospital Bentong dan dilaporkan dalam keadaan stabil.

“Penemuan lelaki berkenaan sudah dimaklumkan kepada keluarganya. Bilik gerakan operasi pencarian ditutup sepenuhnya kira-kira 5 petang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 September 2017 @ 9:19 PM