ANTARA peserta yang turut memeriahkkan Distinguished Gentleman's Ride. FOTO Zairee Mohd Yasak
ANTARA peserta yang turut memeriahkkan Distinguished Gentleman's Ride. FOTO Zairee Mohd Yasak
Zairee Mohd Yasak


GELAGAT 200 peserta program Distinguished Gentleman's Ride, yang menunggang motosikal masing-masing dengan berpakaian kemas iaitu memakai seluar panjang, baju kemeja dan kot, menarik perhatian orang ramai sekitar Masjid Kampung Hulu, Banda Hilir, Melaka Tengah, hari ini.

Jawatankuasa Penganjur Distinguished Gentleman's Ride, Mike Thien berkata, peserta sebenarnya bukan sekadar berkonvoi sebaliknya turut mempromosikan kempen pencegahan kanser prostat dan kejadian bunuh diri dalam kalangan lelaki.

"Mereka berpakaian segak seperti 'gentlement' (lelaki budiman), kerana itulah pakaian rasmi setiap peserta mengambil bahagian dalam program ini yang turut dianjurkan di seluruh dunia.

"Sambil berkonvoi secara santai, kami berkempen mengenai bahaya kanser prostat dan buat kutipan amal. Apa yang membanggakan, penunggang wanita turut menyertai acara hari ini," katanya.

Menurutnya, program tunggangan amal dimulakan sejak 2012 itu dicetuskan oleh seorang penunggang dari Australia, Mark Hawwa, selepas melihat gambar seorang jurufoto memakai sut lengkap ketika menunggang sebuah motosikal klasik.

Jelasnya kutipan amal itu bertujuan mengisi dana Yayasan Movember (dana untuk kajian penyakit kanser prostat) dan program itu turut ditaja oleh beberapa syarikat pengeluar motosikal terkemuka dunia seperti Triumph Motorcycles.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 September 2017 @ 6:05 PM