Lizam Ridzuan dan Noor Nabilah Ibrahim


DIMULAKAN sejak 11 tahun lalu oleh Mark Hawwa di Australia, acara Distinguished Gentleman's Ride (DGR) yang menyatukan penunggang motosikal gaya klasik dan vintaj kekal menjadi acara tahunan sehingga kini.

Bukan sekadar aktiviti tunggangan motosikal biasa, ia bagi tujuan mengumpulkan dana dan meningkatkan kesedaran tentang kanser prostat serta kesihatan mental lelaki.

Untuk Malaysia ia adalah anjuran komuniti motosikal cafe racer, klasik dan choper iaitu Throttle Riot yang diasaskan oleh Raja Surina Raja khalid pada 2014 menjadi penganjur rasmi sejak 2015 di Pulau Pinang, Ipoh (2016), Johor Bharu (2017), Kedah (2018) dan Kuala Lumpur (2022).

Untuk DGR 2023 di Malaysia, ia diadakan di Lalaport Bukit Bintang City Centre dengan kehadiran lebih 800 penunggang yang berkonvoi ke Muzium Negara dan Dataran Merdeka sebelum kembali ke Lalaport.

Kali ini lebih 1,000 penunggang hadir dengan motosikal dan pakaian menunggang gaya 'dapper' menambah ciri keunikan serta menyerlahkan setiap individu.

Menurut Raja Surina antara kelainan kali ini ialah mendapat sokongan penaja serta menyediakan gerai jualan 'Sunburst Riot' yang menyokong jenama tempatan bagi menambah kemeriahan acara.

"Tahun ini kami mengadakan acara DGR 2023 di Kuala Lumpur selama dua hari dan menambah kelainan daripada tahun-tahun sebelumnya dengan menyediakan ruang untuk vendor tempatan mempromosikan produk mereka.

"Kami harap tahun mendatang lebih ramai peserta akan menyertainya termasuk menerima lebih sumbangan bukan sahaja daripada peserta malah daripada orang awam juga untuk meningkatkan kesedaran ramai tentang kanser prostat dan kesihatan mental lelaki," katanya.

SHAFIQAH.
SHAFIQAH.

Peserta Afifi Che Rawi yang menunggang Vespa Sei Giorni mula menyertai acara DGR ini sejak 2013 dan sememangnya berminat menyertai acara tunggangan selain unik kerana ia bagi tujuan kebaikan.

"Saya juga berkongsi pautan kepada rakan untuk sumbangan amal dan berjaya mengumpulkan sekitar USD71 (RM325) dan berharap lebih ramai mendapat manfaat dan maklumat berkaitan kanser prostat dan kesihatan mental serta ramai sebenarnya tidak tahu topik ini patut dibincangkan," katanya yang bertugas sebagai jurutera.

Perkara sama dikongsi oleh Shafiqah Nabilah Shamzuri yang pertama kali menyertai DGR dan ia pengalaman bermakna kerana melihat ramai sekali penunggang motosikal hadir ke acara berkenaan.

"DGR 2023 ini sangat menarik untuk disertai dan sekiranya diberi peluang pada tahun hadapan saya pasti akan hadir bagi memberi sokongan dan ingin mencadangkan supaya lebih banyak aktiviti sampingan lain diadakan untuk menjadikan acara lebih menarik," katanya yang bertugas sebagai pereka grafik.

Selain acara menunggang juga diadakan persembahan band muzik tempatan dan Anugerah Pakaian Terbaik sebagai kemuncak acara selama dua hari itu.

Sehingga artikel ini ditulis, DGR 2023 Kuala Lumpur berjaya mengumpulkan sekitar RM20,000 bagi disumbangkan kepada Movember iaitu badan amal terkemuka yang memfokuskan pada kesihatan lelaki terutama mental dan pencegahan bunuh diri, kanser prostat dan kanser testis.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Mei 2023 @ 6:17 AM