ANGGOTA SPRM memasuki bangunan pentadbiran kerajaan negeri bagi menjalankan siasatan berhubung isu pemilikan tanah Gatco di Wisma Negeri, semalam.
ANGGOTA SPRM memasuki bangunan pentadbiran kerajaan negeri bagi menjalankan siasatan berhubung isu pemilikan tanah Gatco di Wisma Negeri, semalam.
Khairul Najib Asarulah Khan


Seremban: Kemelut pemilikan tanah di Kampung Serampang Indah di Serting Hilir, Jempol yang berlarutan sejak 40 tahun mendorong Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyerbu Unit Kerajaan Tempatan di Wisma Negeri dan Perbadanan Kemajuan Negeri Sembilan (PKNNS), semalam.

Difahamkan, serbuan itu dilakukan bertujuan menjalankan pemeriksaan dan mendapatkan maklumat berkaitan isu pemilikan tanah di kampung berkenaan.

Tinjauan Harian Metro di Wisma Negeri mendapati empat pegawai SPRM tiba di bangunan berkenaan jam 10.45 pagi.

Pegawai terbabit dipercayai melakukan pemeriksaan di pejabat itu selama hampir dua jam sebelum keluar semula jam 1 tengah hari.

Sebelum ini, Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Dzulkiffli Ahmad memberitahu pihaknya akan menubuhkan jawatankuasa khas menyiasat dokumen diserahkan Badan Bertindak Peneroka Gatco berhubung isu pemilikan tanah kampung berkenaan.

Beliau hadir bertemu sendiri peneroka kampung berkenaan pada Ahad lalu bagi mendengar isu berkenaan.

Pada pertemuan itu, Ketua MIC Bahagian Jelebu yang juga Ketua MIC cawangan kampung terbabit R Ravi menyerahkan lebih 150 dokumen berkaitan kes berkenaan dan surat aduan peneroka.

Kemelut bermula selepas pemilik asal Syarikat Gula Negeri Sembilan ditutup dan ladang tebu seluas 1,200 hektar miliknya dilupuskan kepada PKNNS secara pajakan 99 tahun.

PKNNS memajak tanah itu kepada syarikat The Great Allonioners Trading Corporation Bhd (Gatco) pada 1977 dan menjadikan sebagai tanah rancangan serta membawa masuk peserta dengan tawaran tapak rumah dan ladang getah seluas empat hektar seorang.

Namun Gatco menghadapi masalah kewangan menyebabkan projek terbengkalai dan tanah dirampas lalu dilelong pada 2004.

Bagaimanapun, pemilikan tanah bertukar tangan kepada pelbagai pihak sebelum dimiliki sebuah syarikat yang bersetuju bekerjasama dengan kerajaan negeri untuk menyelesaikan masalah tanah di ladang berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Ogos 2017 @ 9:34 AM