BERNAMA

Kuala Terengganu: Pembatalan projek Akuapolitan Kuala Nerus yang bernilai RM180 juta pada 2019, bukan keputusan kerajaan Terengganu sebaliknya ia adalah keputusan bersama Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) dengan kerajaan Pusat.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa Terengganu Dr Azman Ibrahim berkata, meskipun dibatalkan, kerajaan negeri akan menggantikannya dengan projek lain demi manfaat penduduk.

"Saya tegaskan, walaupun kita tak dapat buat semua perkara, jangan tinggalkan semuanya. Kita buat cadangan yang lebih realistik iaitu projek perumahan bercampur secara penswastaan dan 67 rumah mampu milik untuk penduduk yang terlibat dengan pengambilan tanah ketika pembinaan jalan raya di Kuala Terengganu City Centre (KTCC).

"Selain itu, kita cadangkan kepada ECERDC untuk bina jeti pendaratan nelayan kerana jeti sedia ada di Pulau Kambing sudah semakin sesak.

"Jeti baharu itu nanti lengkap dengan bilik sejuk beku dan kilang air batu untuk kemudahan nelayan di sekitar Seberang Takir," katanya pada sesi sidang Dewan Undangan Negeri (Dun), di sini, hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman (BN-Seberang Takir) yang ingin tahu mengenai usaha kerajaan negeri sama ada mahu meneruskan projek itu kerana ia adalah yang pertama seumpamanya di dunia berkonsepkan Felda Laut.

Projek yang dirasmikan pada 2016 itu, bertujuan mewujudkan sebuah ekosistem perikanan yang bersepadu dan mampan termasuk pembinaan terminal perikanan, pusat pemprosesan ikan, pasar ikan segar dan restoran yang bukan sahaja memberi manfaat kepada masyarakat tempatan, malah akan menarik minat pelaburan dalam sektor perikanan, perniagaan, industri hiliran dan pelancongan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Mac 2022 @ 1:21 PM
Dr Azman (tiga kanan) meraikan pegawai dan kakitangan di sektor perladangan, ternakan dan perikanan pada sesi rehat persidangan DUN di ruang legar Wisma Darul Iman, hari ini. FOTO BAHAROM BAKAR
Dr Azman (tiga kanan) meraikan pegawai dan kakitangan di sektor perladangan, ternakan dan perikanan pada sesi rehat persidangan DUN di ruang legar Wisma Darul Iman, hari ini. FOTO BAHAROM BAKAR