Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bersama Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Richard Riot, Pengerusi NIOSH, Tan Sri Lee Lam Thye dan Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia, Datuk Seri Adenan Ab Rahman  ketika majlis Perasmian Persidangan dan Pameran Keselamata n dan Kesihatan Pekerjaaan kali ke-20 (COSH2017) di Putrajaya. FOTO MOHD FADLI HAMZAH
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bersama Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Richard Riot, Pengerusi NIOSH, Tan Sri Lee Lam Thye dan Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia, Datuk Seri Adenan Ab Rahman ketika majlis Perasmian Persidangan dan Pameran Keselamata n dan Kesihatan Pekerjaaan kali ke-20 (COSH2017) di Putrajaya. FOTO MOHD FADLI HAMZAH
Hayati Ibrahim


SEMUA sekolah di negara ini diwajibkan melakukan audit keselamatan bagi memastikan bangunan dan kawasan persekitarannya selamat digunakan oleh guru, pelajar dan pekerja sokongan di situ.

Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Negara (NIOSH) Tan Sri Lee Lam Thye berkata, tempoh audit bergantung kepada usia bangunan, termasuk setiap tahun bagi bangunan yang sudah berusia lebih 20 tahun.

Katanya, ia adalah antara perkara yang akan dicadangkan kepada pasukan petugas khas selepas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan pembabitan NIOSH sebagai anggota pasukan berkenaan.

"Selain itu, kita juga mencadangkan supaya mewajibkan sekolah untuk mempunyai Jawatankuasa Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan bagi membincangkan semua perkara berkaitan keselamatan dan kesihatan di tempat kerja.

"Ia selari dengan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (OSHA 1994) yang mewajibkan tempat kerja atau sekolah yang mempunyai lebih 40 pekerja atau orang awam mempunyai jawatankuasa itu,"katanya ketika ditemui media selepas menghadiri

Persidangan dan Pameran Bagi Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (COSH 2017) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), hari ini.

Pelancaran persidangan disempurnakan Timbalan Perdana Menteri.

Sementara itu, Lee berkata, pihaknya amat berbesar hati kerana diberi tanggungjawab dalam pasukan petugas khas berkenaan dan akan memberikan pandangan serta bekerjasama dengan pihak berkenaan berkaitan isu keselamatan di sekolah.

Selain itu, beliau berkata, NIOSH juga sudah melaksanakan Program Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan di Sekolah (OSH In School) sejak 2015 yang kini disertai lebih 50 sekolah.

"Konsep OSH in School lebih menyeluruh kerana ia melihat sekolah sebagai sebuah premis kerja yang tertakluk di bawah OSHA 1994, yang memastikan keselamatan, kesihatan dan kebajikan mereka yang bekerja selain, melindungi mereka yang berada di dalam kawasan tempat kerja.

"Ia juga dapat memupuk kesedaran terhadap keselamatan dan kesihatan pekerjaan dalam kalangan guru dan kakitangan sokongan serta murid dan pelajar bagi mempraktikkan budaya keselamatan dan kesihatan pekerjaan di peringkat awal,"katanya.

Beliau berkata, pendekatan 'Sekolah Selamat' bukan sekadar berkisar pada aspek disiplin, jenayah, ancaman kepada keselamatan pelajar, buli dan gangsterisme.

Sebaliknya, ia turut merangkumi persoalan keselamatan fasiliti sekolah termasuklah bangunan sekolah dan asrama, peralatan dan semua kemudahan di sekolah.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 September 2017 @ 2:36 PM