RICHARD (tengah) melancarkan gimik Perasmian Seminar Pengurusan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan di Sekolah 2017 di NIOSH, Bangi, sambil diperhatikan  Lee  (kanan) dan  Aminuddin.
RICHARD (tengah) melancarkan gimik Perasmian Seminar Pengurusan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan di Sekolah 2017 di NIOSH, Bangi, sambil diperhatikan Lee (kanan) dan Aminuddin.

Bangi: Sekolah yang mempunyai lebih 40 kakitangan perlu menubuhkan jawatankuasa khas keselamatan dan kesihatan dalam usaha memperkasakan kesedaran mengenai keselamatan di sekolah mulai tahun ini.

Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Richard Riot Jaem berkata, usaha itu akan diterapkan di sekolah seluruh negara bagi membantu kerajaan mengurangkan kadar kemalangan dan penyakit di tempat kerja.

Katanya, ia antara pendekatan Pengurusan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan di Sekolah (OSH in School) yang dilaksanakan secara menyeluruh dan tertakluk kepada Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994.

“Program keselamatan dan kesihatan di sekolah yang dibuat sebelum ini tidak dilaksanakan secara menyeluruh menyebabkan masih berlaku kemalangan membabitkan pelajar di kawasan sekolah sejak beberapa tahun lalu.

“Oleh itu, ‘OSH in School’ dilaksanakan bagi memupuk kesedaran terhadap keselamatan dan kesihatan di sekolah secara serius,” katanya pada sidang media selepas majlis perasmian Seminar Pengurusan OSH in School 2017 di Menara NIOSH, di sini, semalam.

Menurutnya, seminar yang diadakan itu adalah hasil kerjasama Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang membabitkan guru, pentadbir dan kakitangan sekolah.

Turut hadir Pengerusi NIOSH Tan Sri Lee Lam Thye., Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia Datuk Seri Adenan Ab Rahman dan Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Harian KPM Aminuddin Adam.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Mac 2017 @ 5:50 AM