ANGGOTA bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit. FOTO ihsan Polis
ANGGOTA bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit. FOTO ihsan Polis
Izlaily Nurul Ain Hussein


LELAKI maut selepas kereta dipandunya hilang kawalan dan terbabas hingga berpusing sebelum melanggar besi penghadang jalan di Plaza Tol Lima Kedai dekat Iskandar Puteri, malam tadi.

Dalam kejadian 11.15 malam itu, mangsa, Chong Yue Sheng, 26, yang tidak bekerja itu maut di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Noor Hashim Mohamad berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila kenderaan dipandu mangsa dari arah Gelang Patah menghala ke Senai hilang kawalan dan terbabas.

"Kenderaan iu kemudian berpusing lalu melanggar besi penghadang jalan di dalam kawasan tol.

"Mangsa mengalami kecederaan teruk di bahagian kepala dan badan akibat tersepit di dalam keretanya," katanya.

Beliau berkata, mayat lelaki itu kemudian dibawa ke Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim, Kulai untuk bedah siasat.

Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, enam anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Iskandar Puteri diketuai Hairul Azwii Esrah bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan berhubung kemalangan itu.

Anggota bomba kemudian membantu mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kenderaan berkenaan sebelum menamatkan operasi pada 11.36 malam selepas mayat mangsa berjaya dikeluarkan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 September 2017 @ 11:24 AM