FOTO ihsan bomba
FOTO ihsan bomba
Oleh Ardyhansah Amat

Penampang: Tiga lelaki menempuh detik cemas selepas lori tiga tan jenis Daihastsu yang dinaiki mereka terbabas dan merempuh besi penghadang jalan, di Jalan Penampang-Tambunan, di sini, semalam.

Dalam kejadian 7.30 malam itu, sebatang besi penghadang jalan menembusi lori berkenaan sebelum mengenai kaki pemandu lori, Dabalius Ajumal, 50, sehingga menyebabkan pergelangan kakinya terputus.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Mohd Affendy K Ramin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 8.05 malam.

"Sebaik tiba, terdapat tiga orang mangsa lelaki yang terbabit dalam kemalangan tersebut. Pemandu lori tidak dapat keluar dari kenderaan terbabit selepas kakinya tersepit besi penghadang jalan raya yang menembusi kenderaan itu sehingga menyebabkan pergelangan kaki terputus.

"Selain itu, dua lagi lelaki dipercayai kelindan lori mengalami trauma akibat kemalangan itu sehingga perlu ditenangkan oleh anggota bomba bertugas.

"Semua mangsa dihantar ke Hospital Queen Elizabeth II untuk menjalani rawatan lanjut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Disember 2015 @ 10:07 AM