KEADAAN kedai yang disamun di Taman Keranji.
KEADAAN kedai yang disamun di Taman Keranji.
Azahar Hashim


Kulim: Dua lelaki menyamun dua kedai dalam tempoh 30 minit menggunakan senjata menyerupai pistol di Jalan Tunku Putra dan Taman Keranji, semalam.

Dalam kejadian jam 11 pagi itu pada mulanya dua suspek menunggang motosikal Yamaha 125Z itu menyamun kedai aksesori motosikal diikuti kedai runcit di taman berkenaan.

Menurut sumber, dalam kejadian pertama seorang suspek masuk ke kedai terbabit lalu bertanyakan mengenai beberapa topi keledar yang dipamerkan.

“Ketika itu hanya ada seorang pekerja lelaki berusia 40-an di dalam kedai aksesori terbabit dan tiba-tiba seorang lelaki masuk ke dalam kedainya lalu bertanyakan mengenai harga beberapa topi keledar.

“Ketika sedang melayan lelaki terbabit secara tiba-tiba suspek mengeluarkan senjata api menyerupai sepucuk pistol lalu mengacu kepada mangsa sebelum melarikan sebuah topi keledar mahal.

“Bimbang dicederakan, mangsa tidak melawan dan suspek kemudian melarikan diri menaiki sebuah motosikal bersama rakannya yang sudah menunggu di tepi jalan,” katanya.

Sumber berkata, pada jam 11.30 pagi suspek sama kemudian menyamun kedai runcit di Taman Keranji dan melarikan beg pinggang seorang wanita pemilik kedai yang mengandungi wang tunai dan telefon pintar dengan nilai kerugian lebih RM600.

Sementara itu, mangsa yang mahu dikenali Ong, 55, berkata, ketika kejadian dia bersiap untuk makan tengah hari di sebuah meja berhampiran dengan kaunter bayaran.

“Saya seorang ketika itu dan ketika hendak makan ada seorang lelaki bertopi keledar masuk ke dalam kedai dan bertanyakan rokok berharga murah sebelum berlegar di dalam kedai beberapa minit, saya kemudian ke kaunter bayaran lalu menunjukkan rokok murah.

“Ketika saya menunjukkan rokok murah di belakang kaunter bayaran, secara tiba-tiba lelaki terbabit menarik beg pinggang yang saya pakai dan berlaku pergelutan sehingga rak balang gula-gula yang diletakkan di hadapan kaunter bayaran bertaburan,” katanya ketika ditemui, dekat sini, semalam.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ahmad Nasir Jaafar ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan daripada kedua-dua mangsa dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 September 2017 @ 7:52 AM