Warga asing dijadikan buruh paksa yang diselamatkan polis di Kawasan Perindustrian Kanthan, Ipoh hari ini. FOTO Abdullah Yusof
Warga asing dijadikan buruh paksa yang diselamatkan polis di Kawasan Perindustrian Kanthan, Ipoh hari ini. FOTO Abdullah Yusof
Muhammad Apendy Issahak


POLIS menyelamatkan 18 warga asing yang dipercayai dijadikan buruh paksa dalam serbuan di Kawasan Perindustrian Kanthan, Ipoh hari ini.

Dalam serbuan 3.45 petang di kilang membuat sarung tangan dan hostel pekerja terbabit di kawasan berhampiran, suami isteri warga Myanmar turut diberkas kerana dipercayai menjadi ejen dan mengawal semua urusan warga asing berkenaan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak Datuk Gan Tian Kee berkata, semua 18 warga asing yang diselamatkan terdiri daripada warga Myanmar, Nepal dan Bangladesh berusia 17 hingga 40-an.

“Semua warga asing berkenaan dipercayai dieksploitasi untuk bekerja dengan bayaran gaji yang tidak setimpal.

"Mangsa dijanjikan gaji sebanyak RM1,800 sebulan dengan bekerja 12 jam sehari tanpa cuti, namun dipercayai hanya mendapat gaji sebanyak RM1,200 sebulan," katanya.

Menurutnya, semua urusan pekerja terbabit diuruskan suami isteri berusia 40-an itu yang disyaki bertindak sebagai ejen termasuk menetapkan gaji, makanan, tempat tinggal dan perubatan mangsa.

"Serbuan serentak turut dijalankan di kawasan Klang, Selangor dan difahamkan seramai 900 warga asing bekerja di kilang terbabit.

"Semua mangsa terbabit disyaki diuruskan oleh ejen yang sama membabitkan pengurusan kilang membuat sarung tangan yang sama," katanya.

Tian Kee berkata, kes kini disiasat mengikut Seksyen 12 dan 14 Akta Antipemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 September 2017 @ 6:44 PM