Muhammad Hatim Ab Manan


MAJLIS Korban di perkarangan Masjid Al-Kausar Daulah Qatar, Kampung Kork, Kampong Cham, Kemboja, hari ini meriah dengan dihadiri 600 penduduk tempatan dan 80 sukarelawan Maahad Tahfiz Baitul Tariq Klebang, Melaka.

Memeriahkan lagi majlis apabila penduduk tempatan, sukarelawan dan peserta ibadah korban menikmati gulai kari yang dimasak secara gotong-royong dan dinikmati selepas ibadah korban selesai.

LEMBU disembelih untuk ibadah korban. FOTO Muhammad Hatim Ab Manan
LEMBU disembelih untuk ibadah korban. FOTO Muhammad Hatim Ab Manan

Terdahulu penduduk dan sukarelawan berkumpul di Masjid Al-Kausar Daulah Qatar untuk bersama-sama menunaikan solat sunat Aidiladha seawal 7 pagi.

Yang di-Pertua Maahad Tahfiz Baitul Tariq, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad berkata, sembelihan membabitkan 31 ekor lembu iaitu 29 untuk ibadah korban manakala dua ekor lagi disediakan khas untuk kenduri rakyat.

"Sebelum ini kami sudah beberapa kali melaksanakan ibadah korban di Kemboja, namun buat pertama kali disertakan dengan kenduri rakyat.

"Kami pilih kampung terpencil dari Phnom Penh kerana majoriti penduduk di sini adalah dalam kalangan asnaf selain mengimbau kembali kenangan rakyat Malaysia menunaikan ibadah korban sekitar tahun 60-an. Malah suasana lokasi ibadah ini dijalankan juga sama seperti perkampungan Melayu pada waktu itu," katanya.

PERKARANGAN Masjid Al-Kausar Daulah Qatar, Kampung Kork, Kampong Cham. FOTO Muhammad Hatim Ab Manan
PERKARANGAN Masjid Al-Kausar Daulah Qatar, Kampung Kork, Kampong Cham. FOTO Muhammad Hatim Ab Manan

Mohamad Ali berkata, sukarelawan turut mengagihkan pakaian terpakai kain pelikat, kain batil dan sejadah kepada penduduk dewasa manakala kanak-kanak menerima duit raya, makanan ringan dan gula-gula.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 September 2017 @ 5:38 PM
MASYARKAT Islam Kemboja menjamu selera pada jamuan rakyat. Muhammad Hatim Abd Manan
MASYARKAT Islam Kemboja menjamu selera pada jamuan rakyat. Muhammad Hatim Abd Manan