Ahmad Zahid   mengibarkan Jalur Gemilang ketika Perhimpunan Bulanan KDN, semalam.
Ahmad Zahid mengibarkan Jalur Gemilang ketika Perhimpunan Bulanan KDN, semalam.
HM Digital

Putrajaya: Kementerian Dalam Negeri (KDN) mencapai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) sebanyak 90 peratus dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini bagi 38 inisiatif KPI ditetapkan dan ia disifatkan suatu pencapaian memberangsangkan.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, peratusan yang dicapai melebihi sasaran ditetapkan untuk tempoh berkenaan iaitu 69 peratus.

“Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (PEMANDU) meletakkan 25 inisiatif KPI untuk dicapai oleh KDN tetapi, kita sendiri meningkatkannya kepada 38 inisiatif KPI.

“Insya-Allah, jika semua warga KDN bersama sebagai satu pasukan, kita akan mencapai sasaran sebanyak 138 peratus bagi semua 38 inisiatif KPI untuk tahun ini,” katanya berucap pada Perhimpunan Bulanan KDN, semalam.

Beliau berkata, kejayaan pengurusan kementerian itu turut mendapat pengiktirafan pelbagai pihak termasuk Anugerah Penarafan Lima Bintang Keselamatan Perlindungan oleh Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan (CGSO).

“Malah, pada 31 Julai lalu, Ketua Audit Negara mengumumkan KDN mendapat Penarafan Cemerlang Lima Bintang iaitu melonjak dari tangga ke-19 kepada tangga kedua bagi penarafan Indeks Akauntabiliti.

“Kementerian Kewangan juga mengumumkan, Bahagian Audit Dalam KDN diiktiraf sebagai kementerian yang Melaksanakan Fungsi Audit Dalam Yang Cemerlang bagi 2016,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Ogos 2017 @ 5:18 AM