AHMAD Zahid ketika melancarkan Jurnal Koreksional Malaysiadi Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri. FOTO Mohd Fadli Hamzah
AHMAD Zahid ketika melancarkan Jurnal Koreksional Malaysiadi Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Siti A'isyah Sukaimi


KEMENTERIAN Dalam Negeri (KDN) mencapai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) sebanyak 90 peratus dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini bagi 38 inisiatif KPI ditetapkan sekali gus disifatkan suatu pencapaian memberangsangkan.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, peratusan yang dicapai adalah melebihi sasaran ditetapkan untuk tempoh berkenaan iaitu 69 peratus.

"Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (PEMANDU) meletakkan 25 inisiatif KPI untuk dicapai oleh KDN tetapi, kita meningkatkannya sendiri kepada 38 inisiatif KPI.

"Insya-Allah, jika semua warga KDN bersama sebagai satu pasukan, kita akan mencapai sasaran sebanyak 138 peratus bagi semua 38 inisiatif KPI untuk tahun ini," katanya berucap pada Perhimpunan Bulanan KDN di Putrajaya, hari ini.

Beliau berkata, kejayaan pengurusan kementerian itu turut mendapat pengiktirafan termasuk Anugerah Penarafan Lima Bintang Keselamatan Perlindungan oleh Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan (CGSO).

"Malah, pada 31 Julai lalu, Ketua Audit Negara mengumumkan KDN mendapat Penarafan Cemerlang Lima Bintang iaitu melonjak dari tangga ke-19 kepada tangga kedua bagi penarafan Indeks Akauntabiliti.

"Kementerian Kewangan juga mengumumkan, Bahagian Audit Dalam KDN diiktiraf sebagai kementerian yang Melaksanakan Fungsi Audit Dalam Yang Cemerlang bagi tahun 2016," katanya.

Selain itu, Ahmad Zahid berkata, Jabatan Penjara melaksanakan pelbagai program pemulihan banduan termasuk Program Pembangunan Insan, Sistem Parol dan Pemulihan Pemasyarakatan.

Katanya, daripada 17,081 orang yang diparol bermula 2008 hingga Jun lalu, hanya 0.44 peratus atau 75 orang terjebak semula melakukan jenayah.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Ogos 2017 @ 1:34 PM