PEKERJA kilang berkumpul di luar selepas berlaku letupan di Seksyen 15, Shah Alam.
PEKERJA kilang berkumpul di luar selepas berlaku letupan di Seksyen 15, Shah Alam.
Fuad Hadinata Yaacob dan Siraj Mohd Zaini


Shah Alam: “Gegaran letupan itu bagaikan gempa bumi menyebabkan lampu serta siling jatuh ke lantai hingga ada yang mengenai pekerja termasuk saya,” kata pekerja sebuah kilang komponen elektronik di Seksyen 15, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 5 petang, dua mangsa parah manakala empat yang lain cedera selepas alat penghawa dingin meletup ketika kerja-kerja penyelenggaraan dilakukan pekerja sebuah syarikat kontraktor.

Pekerja kilang yang hanya mahu dikenali sebagai Zamri, 28, berkata, ketika kejadian dia berada tidak jauh dari bilik penghawa dingin mendapati suasana agak kelam-kabut berikutan bekalan elektrik turut terputus.

“Telinga saya masih berdengung kerana bunyi letupan itu sangat kuat sehingga siling dan lampu terjatuh, malah pintu terpelanting. Ada beberapa pekerja cedera terkena siling dan barangan lain,” katanya yang masih terkejut dengan insiden itu ketika ditemui, di sini.

Katanya, keadaan ketika itu juga berdebu berikutan letupan yang berlaku.

“Saya bersyukur walaupun berada dekat dengan bilik penghawa dingin, tetapi tidak mengalami kecederaan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Cawangan Pengurusan Operasi dan Balai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Alimaddia Bukri berkata, letupan itu berlaku ketika beberapa pekerja syarikat kontraktor sedang melakukan pengisian gas dan kerja kimpalan dalam bilik penghawa dingin berkenaan.

Menurutnya, seorang pekerja warga Bangladesh yang membaiki penghawa dingin itu parah di bahagian kaki kiri serta melecur pada muka dan tangan.

Katanya, seorang wanita yang juga pekerja kilang itu turut cedera di bahagian muka selepas terkena pintu yang terpelanting, manakala empat mangsa lain termasuk seorang pekerja lelaki mengalami kecederaan ringan.

“Mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Shah Alam untuk rawatan lanjut. Setakat ini, punca kejadian masih dalam siasatan,” katanya.

Dalam pada itu, pekerja warga Bangladesh yang parah menerima rawatan di zon kritikal, manakala pekerja wanita ditempatkan di zon separa kritikal Hospital Shah Alam selepas dikejarkan dengan ambulans.

Empat lagi pekerja yang cedera ringan dirawat sebagai pesakit luar di hospital berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Ogos 2017 @ 9:12 AM