Keadaan Proton Saga FL mangsa yang dirempuh suspek. FOTO ihsan polis
Keadaan Proton Saga FL mangsa yang dirempuh suspek. FOTO ihsan polis
Nurul Hidayah Bahaudin


POLIS memburu dua lelaki yang mencuri Toyota Estima dan mengakibatkan seorang wanita maut selepas mereka terbabit dalam kemalangan di Kilometer 9.9 Lebuhraya Kajang SILK, Kajang, pada 7 pagi hari ini.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yusof berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang remaja perempuan berusia 17 tahun yang memaklumkan Toyota Estima bapanya dilarikan dua penjenayah di rumahnya di Taman Cheras Perdana, Kajang kira-kira 4 pagi hari ini.

"Kami kemudian menerima laporan kemalangan membabitkan kereta itu di lokasi kejadian.

"Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku akibat suspek yang dipercayai memandu dalam keadaan laju hingga kenderaan itu hilang kawalan lalu melanggar belakang Proton Saga FL yang berada di lorong paling kiri," katanya.

Ahmad Dzaffir berkata, pelanggaran itu menyebabkan pemandu kereta yang berusia 39 tahun meninggal dunia di lokasi kejadian akibat cedera parah di kepala.

"Mayat dihantar ke Hospital Serdang untuk bedah siasat.

"Usaha mengesan suspek yang melarikan diri selepas kemalangan itu sedang giat dijalankan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan Seksyen 395 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Ogos 2017 @ 6:20 PM