Ismail (dua kanan) bersama tetamu jemputan melepaskan anak penyu di Pantai Paka, Dungun. FOTO Rosli Ilham
Ismail (dua kanan) bersama tetamu jemputan melepaskan anak penyu di Pantai Paka, Dungun. FOTO Rosli Ilham
Rosli Ilham


NELAYAN pukat tunda tempatan dikesan menukar taktik menangkap ikan pada waktu awal pagi bagi mengelak perbuatan mereka dikesan pihak berkuasa.

Ketua Pengarah Jabatan Perikanan Malaysia Datuk Ismail Abu Hasan berkata, pihaknya menyedari taktik itu selepas beberapa siri tangkapan dilakukan di Terengganu dan Pahang, baru-baru ini.

Katanya, nelayan terbabit sebenarnya dibenarkan memukat di tempat ditetapkan namun mereka rakus menangkap ikan sehingga ke kawasan pulau yang diwartakan sebagai zon larangan menangkap ikan.

“Selepas 10 tangkapan yang kami lakukan pada waktu malam baru-baru ini, ada nelayan mengalih operasi mereka pada awal pagi hingga waktu subuh.

"Kita menyedari taktik itu dan bekerjasama dengan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) untuk memburu mereka," katanya selepas melepaskan 1,400 anak penyu membabitkan kerjasama The Qamar Hotel, BP Petronas Acetyles Sdn Bhd dan Petronas Carigali Sdn Bhd, semalam.

Ismail berkata, sebanyak 623 tangkapan dilakukan terhadap nelayan tempatan di seluruh negara membabitkan pelbagai kesalahan sepanjang tahun ini sehingga 17 Julai lalu.

Katanya, ia membabitkan 267 tangkapan oleh Jabatan Perikanan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) (194), APMM (125), Jabatan Taman Laut (36) manakala satu tangkapan membabitkan lain-lain agensi membabitkan kompaun sebanyak RM581,250, rampasan ikan yang dilelong sebanyak RM348,460 dan denda di mahkamah sebanyak RM12,000.

"Selain itu, kita membuat 51 kes tangkapan nelayan asing iaitu Jabatan Perikanan (tiga), PDRM (satu) dan APMM (47),” katanya.

Dalam pada itu, Ismail berkata, pihaknya turut berusaha mengekang pencerobohan nelayan asing yang menggunakan kaedah pukat tunda gading.

“Kita kesal dengan perbuatan nelayan tempatan atau asing. Perbuatan mereka itu boleh membinasakan sumber ikan kita yang bernilai lebih RM18 bilion dan nilai ikan semasa melebihi 1.8 juta tan metrik.

"Apabila sumber ini tidak dijaga, ia akan menjadi semakin berkurangan seterusnya menyebabkan kita kehilangan terus sumber ikan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Ogos 2017 @ 4:14 PM