Rosli Ilham


PASUKAN mencari dan menyelamat (SAR) akan memperluaskan lagi kawasan pencarian ke arah timur dan barat masing-masing pada jarak 10 kilometer dari tempat Zakaria Omar, 58 nelayan yang disyaki jatuh ke laut, mulai esok.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Marang, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Hasan Embong berkata, pihaknya sudah mengadakan perbincangan membabitkan pelbagai agensi lain bagi mencari Zakaria yang masih belum ditemui.

Katanya, pada operasi hari pertama hari ini, seramai 176 anggota daripada pelbagai agensi selain penduduk kampung melancarkan operasi SAR, namun menemui jalan buntu.

"Sebanyak 27 buah bot termasuk 20 bot nelayan membantu pihak berkuasa membabitkan jarak pencarian sehingga ke Kuala Abang.

"Operasi yang akan disambung semula pagi esok kemungkinan kita akan perluaskan lagi jarak sehingga ke Gong Balai di sebelah barat dan Kuala Dungun (timur)," katanya malam ini.

Katanya, pasukan penyelam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) turut melancarkan gerakan namun setakat ini usaha mereka belum berhasil. 

"Kita juga akan memperluaskan operasi mencari ke tengah laut kerana bimbang mangsa dihanyutkan arus," katanya.

Zakaria, yang keluar menahan pukat di laut, kira-kira jam 6 pagi semalam namun tidak pulang ke rumah selerti kebiasaannya.

Isterinya, Farimah Ibrahim, 50, kemudian pergi ke pengkalan nelayan mencarinya sebelum memaklumkan kepada nelayan lain yang bertindak melancarkan gerakan mencari dan menyelamat.

Bagaimanapun, bot gentian kaca yang dinaiki mangsa itu ditemui tersadai di tepi pantai dekat Kampung Rantau Abang, kira-kira 6.30 petang.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Ogos 2017 @ 12:11 AM