Izlaily Nurul Ain Hussein


RAKYAT Malaysia perlu menghayati rukun negara kedua iaitu Kesetiaan Kepada Raja dan Negara dalam usaha mengekalkan keharmonian masyarakat berbilang kaum.

Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkata, rukun negara kedua itu jelas menyatakan kesetia kepada raja dan negara dan ia penting dalam mengekalkan keharmonian.

Katanya, ketaatan dan kesetiaan itu jugalah yang akan menjadikan rakyat itu teguh bersama walaupun kini nilainya dilihat agak luntur.

“Ketaatan memastikan kesinambungan budaya dan adat resam serta agama agar berterusan dari zaman berzaman.

“Ketaatan jugalah yang akan menjadikan kita teguh bersama, namun nilai ini seolah-olah menjadi agak luntur kini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan Istiadat Perbarisan Pentauliahan Diraja dan Pengurniaan Watikah Tauliah Pegawai Kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) Universiti Awam Ke-38 di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di Johor Bahru, hari ini.

TUNKU Ismail memeriksa pembarisan Pegawai Kadet Palapes Universiti Awam. FOTO Mohd Azren Jamaludin
TUNKU Ismail memeriksa pembarisan Pegawai Kadet Palapes Universiti Awam. FOTO Mohd Azren Jamaludin

Turut hadir, Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Affendi Buang; Timbalan Panglima Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Hasagaya Abdullah dan Timbalan Panglima Tentera Laut, Laksamana Madya Datuk Khairul Anuar Yahya.

Pada istiadat itu, 16 detasmen daripada 18 universiti awam dan sebuah universiti swasta membabitkan 1,560 Pegawai Kadet terdiri daripada 881 Pegawai Kadet Tentera Darat Malaysia (TDM), 330 Pegawai Kadet Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan 349 Pegawai Kadet Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) ditauliahkan.

Mereka menerima penganugerahan itu selepas menamatkan latihan ketenteraan bagi tempoh tiga tahun di setiap institusi pengajian tinggi masing-masing.

Terdahulu, Tunku Ismail berkenan menerima Tabik Hormat Diraja dan memeriksa perbarisan diketuai Pegawai Kadet Terbaik Darat, Pegawai Rendah Muda Kamarul Hafizi Kamaruzaman.

Tunku Ismail kemudian turut berkenan mengurniakan watikah tauliah yang berlangsung di Dewan Sultan Iskandar kepada Pegawai-Pegawai Kadet PALAPES Darat, Laut dan Udara.

Istiadat Pentauliahan PALAPES yang diadakan setiap tahun itu adalah inisiatif berterusan Kementerian Pertahanan dan Kementerian Pendidikan Malaysia dalam usaha memperkasakan Pasukan Simpanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Ogos 2019 @ 2:37 PM