Kediaman Phee di Sungai Puyu, Butterworth digeledah SPRM, hari ini. FOTO Danial Saad
Kediaman Phee di Sungai Puyu, Butterworth digeledah SPRM, hari ini. FOTO Danial Saad
Shamsul Munir Safini

SEPASUKAN pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menggeledah rumah Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar Pulau Pinang Phee Boon Poh di Sungai Puyu, Butterworth, hari ini.

Difahamkan, mereka yang tiba pada 5.20 petang untuk siasatan lanjut berhubung kes kilang haram di Sungai Lembu, Bukit Mertajam.

Terdahulu, penahanan Phee dibuat oleh SPRM ketika beliau hadir ke pejabat agensi itu di Georgetown dengan ditemani peguam RSN Rayer untuk memberi keterangan berhubung siasatan ke atas kilang haram terbabit.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Puyu diarahkan hadir selepas sepasukan pegawai SPRM membuat pemeriksaan di pejabat Phee di Tingkat 53, Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) pada 12.50 tengah hari.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan penahanan Phee.

Difahamkan, setakat ini, dua individu lain iaitu pengarah urusan serta pengurus kilang haram terbabit turut ditahan berhubung kes itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Ogos 2017 @ 9:35 PM