Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Cyberjaya: Lokasi tumpuan utama warga asing dari Asia Barat di Cyberjaya digempur pihak berkuasa dalam operasi bersepadu bagi mengesan warga asing yang mempunyai hubungan dengan kumpulan pengganas antarabangsa.

Operasi bersepadu yang diterajui Bahagian Anti Pengganas (E8) Cawangan Khas, Bukit Aman itu turut memberi tumpuan kepada warga asing yang disyaki memiliki dokumen palsu dan memiliki dokumen yang dilaporkan hilang.

Ketua Penolong Pengarah E8 Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, operasi yang dijalankan secara berterusan itu disertai 200 orang termasuk Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Pasukan Gerakan Am (PGA), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Katanya, operasi kali ini turut membabitkan Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB) yang menyediakan alat mengesan bahan radioaktif.

"Setakat ini, lebih 200 individu warga asing ditahan. Pemeriksaan perlu dilakukan kerana kita bimbang sekiranya ada di antara mereka yang terbabit dengan aktiviti keganasan.

"Semua tangkapan akan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang untuk menjalani proses saringan dan dokumentasi,"katanya pada sidang media selepas operasi berkenaan.

Menurutnya, ini adalah tindakan pencegahan dan proaktif dengan membuat operasi secara berterusan bagi memantau kegiatan warga asing di negara ini.

"Operasi kali kedua diadakan ini memberi fokus kepada warga asing dari negara yang berisiko tinggi iaitu Syria, Iraq dan Yaman.

"Kita juga akan mengambil tindakan susulan sekiranya ada di antara mereka ini yang dikenal pasti ada kaitan dengan aktiviti keganasan,"katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Ogos 2017 @ 12:57 AM
Antara warga asing yang ditahan dalam operasi di Cyberjaya. FOTO Hafidzul Hilmi Mohd Noor
Antara warga asing yang ditahan dalam operasi di Cyberjaya. FOTO Hafidzul Hilmi Mohd Noor