Plat Malaysia Book of Records dilekatkan pada kerangka paip PVC di Pulau Payar, Langkawi, semalam. FOTO Syahid Sokri
Plat Malaysia Book of Records dilekatkan pada kerangka paip PVC di Pulau Payar, Langkawi, semalam. FOTO Syahid Sokri
Syahid Sokri

SEBANYAK 900 tunas anak karangan jenis 'staghorn' yang dilekatkan pada 15 kerangka restorasi karang di Taman Laut Pulau Payar, Langkawi mendapat pengiktirafan dalam Malaysia Book Of Records (MBOR), semalam.

Ia membabitkan penyertaan seramai 30 penyelam dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) Perlis, Politeknik Seberang Perai, Pulau Pinang, Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kedah dan Pulau Pinang serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah.

Pengarah Jabatan Taman Laut Malaysia Kedah Maznah Yusoff berkata, program itu turut dijalankan serentak di taman laut seluruh negara termasuk di Taman Laut Tioman, Taman Laut Redang, Taman Laut Subu dan Taman Laut Labuan menjadikan ia sebagai satu usaha terbesar.

"Pengiktirafan ini sebenarnya sebagai satu inspirasi sempena menyambut ulang tahun penubuhan JTLM pada 2007 lalu bagi mengawal selia taman laut di seluruh negara," katanya ketika ditemui pada program Restorasi Karang The Malaysia Book of Records di Pulau Payar, Langkawi.

Turut hadir, Pegawai Daerah Kota Setar Datuk Mohd Helmi Harun.

Katanya, sebagai persediaan awal kerangka restorasi berkenaan dibuat daripada paip PVC sebagai tapak untuk mengikat tunas anak kerangan yang dikenali sebagai 'nubbin' beberapa hari sebelum program dijalankan.

"Nubbin diperolehi daripada serpihan tunas anak karangan yang patah akibat ombak kuat, mahupun aktiviti manusia semasa menggunakan pantai.

"Walaupun patah hidupan ini masih lagi boleh bercambah dan kita memilihnya kerana ia mudah hidup dan boleh membiak dengan baik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Ogos 2017 @ 5:10 PM