PENYELAM sukarelawan menanam karang di Pusat Taman Laut Pulau Redang. FOTO ihsan Taman Laut Diver
PENYELAM sukarelawan menanam karang di Pusat Taman Laut Pulau Redang. FOTO ihsan Taman Laut Diver
Helmy Abd Rahman


JABATAN Taman Laut Malaysia (JTLM) hari ini menanam 8,300 terumbu karang di enam taman laut di perairan negara menerusi Program Restorasi Karang sempena 10 tahun penubuhan JTLM dan sambutan Hari Laut Sedunia 2017.

Kawasan terbabit ialah Pulau Redang dan Pulau Perhentian di Terengganu; Pulau Tinggi di Johor; Pulau Tioman, Pahang; Pulau Payar, Kedah dan di taman laut Wilayah Persekutuan Labuan.

Jumlah itu membolehkan program pemuliharaan berkenaan diiktiraf The Malaysia Book of Records (MBR) berikutan kejayaan menanam batu karang terbanyak secara serentak di negara ini.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, jumlah 8,300 itu juga melepas sasaran awal yang disasarkan sebanyak 7,200 batu karang.

"Program ini disertai 200 penyelam terdiri daripada kakitangan beberapa agensi kerajaan antaranya JTLM dan bomba serta sukarelawan terdiri daripada anggota NGO (pertubuhan bukan kerajaan.

"Program ini bertujuan menjana semula kawasan terumbu karang yang mengalami kerosakan," katanya selepas merasmikan program berkenaan di Pulau Redang, hari ini.

Hadir sama, Ketua Pengarah JTLM, Datuk Dr Sukarno Wagiman dan Pengurus Pejabat MBR, Lee Pooi Leng.

Proses pemuliharaan itu membabitkan anak terumbu karang yang dilekatkan pada 120 kerangka paip PVC yang direka khas oleh JTLM.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Ogos 2017 @ 7:48 PM