NORLIZA (empat kanan) di pusara bapanya bersama ahli keluarga yang lain. FOTO Izlaily Nurul Ain Hussein
NORLIZA (empat kanan) di pusara bapanya bersama ahli keluarga yang lain. FOTO Izlaily Nurul Ain Hussein
Izlaily Nurul Ain Hussein


JENAZAH bekas Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Datuk Suleiman Mohd Noor, 88, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Ar-Raudhah, Taman Mount Austin, Johor Bahru, 11 pagi, hari ini.

Majlis pengebumian tokoh yang digelar bapa pembangunan bola sepak negeri Johor itu dihadiri kira-kira 200 saudara mara dan kenalan walaupun dalam keadaan hujan di tanah perkuburan berkenaan.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 7.50 malam tadi di Hospital KPJ Pakar Puteri, Johor Bahru selepas lebih sebulan uzur.

Menurut anak perempunya, Norliza, 52, kali terakhir dia bertemu Allahyarham pada malam kelmarin sebelum bapanya dibawa ke hospital semalam selepas mengadu sakit.

“Abah sakit sejak bulan puasa lalu, namun selepas raya, kesihatannya beransur pulih. Abah sudah boleh duduk dan makan sendiri. Malah, malam kelmarin, dia sudah boleh bergelak ketawa dan bergurau bersama cucu-cucunya.

“€œSaya agak terkejut dengan pemergian abah kerana saya dalam perjalanan ke Kuala Lumpur dan diberitahu oleh suami, dia hendak membawa abah ke hospital tetapi dia memaklumkan bahawa abah dalam keadaan baik.

“œKetika di Seremban, saya mendapat berita abah meninggal dunia dan terus berpatah balik dalam keadaan yang masih terkejut,” katanya ketika ditemui pada majlis pengebumian itu, hari ini.

Bercerita mengenai bapanya, Norliza berkata, Allahyarham seorang yang sangat kuat.

“He's a fighter. Masa sakit itu, doktor kata abah cuma ada 48 jam saja tapi bayangkan abah boleh bertahan hingga semalam. Azamnya kuat,” katanya yang memberitahu Allahyarham mula mendapatkan rawatan akibat kegagalan buah pinggang pada Ramadan lalu.

Norliza turut berkongsi mengenai arwah bapanya yang sangat komited dan mencintai dunia bola sepak menyebabkan mereka yang berada dalam arena sukan itu amat rapat dengannya.

“Sehingga sekarang, semua budak-budak bola pun masih rapat dengan abah. Kalau pasukan bola sepak dia menang, memang abah akan layan dan jamu mereka semua. Tetapi, kalau kalah, kami yang di rumah semua duduk dalam bilik, takut abah marah-marah,” katanya sayu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Ogos 2017 @ 1:11 PM