SEBAHAGIAN peserta sempena #MerdekaQuranHour and #WorldQuranHour di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya.
SEBAHAGIAN peserta sempena #MerdekaQuranHour and #WorldQuranHour di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya.
Hayati Ibrahim


Putrajaya: Bawa al-Quran ke dalam rumah. Itu pesanan penceramah yang juga Penasihat Modul Rumah Ngaji Safri Md Zain ketika ditanya apakah tindakan yang boleh dilakukan untuk mengatasi kes buli dan vandalisme dalam kalangan remaja ketika ini.

Beliau berkata, anak muda perlu didekatkan dengan al-Quran sejak kecil supaya roh mereka sebati dengan ajaran Islam, sekali gus mengelakkan mereka hanya mencintai dunia semata-mata.

Katanya, keluarga adalah institusi amat penting untuk membentuk akhlak anak-anak serta remaja dan amat penting bagi ibu bapa untuk menanamkan kecintaan kepada Allah dan menjadikan al-Quran sebagai teman sejati.

“Kes buli dan vandalisme dalam kalangan remaja adalah salah satu contoh yang mana hati mereka mati (kepada perkara kebaikan).

“Jadi, ibu bapa harus mendidik anak-anak untuk mencintai al-Quran dan faham setiap isi ayat suci itu serta beramal,” katanya ketika program Sembang Sarapan Pagi sempena #MerdekaQuranHour and #WorldQuranHour anjuran Yayasan Warisan Ummah Ikhlas di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di sini, semalam.

Safri berkata, walaupun negara sudah 60 tahun merdeka, namun hati anak muda masih dijajah kerana dengan tidak mengikuti ajaran al-Quran dan tidak mencintai Allah.

Sesi interaksi yang dikenali sebagai ‘Yassin dan Kemerdekaan’ itu dihadiri 120 tetamu merangkumi penduduk sekitar Putrajaya dan penuntut.

Mereka sama-sama membaca surah Yassin dan menghayati terjemahannya dengan bimbingan Penasihat Program Gema Wahyu dan #MerdekaQuranHour Ahmad Tarmizi Abdul Rahman dan Safri.

Sesi berkenaan dikendalikan Ahli lembaga Pemegang Amanah Yayasan Warisan Ummah Ikhlas Fazrul Famee Ismail.

Pada sesi itu, mereka yang hadir membaca surah Yassin, sekali gus dapat membetulkan bacaan masing-masing.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Warisan Ummah Marhaini Yusoff dalam sidang media berkata, #WorldQuranHour dan #MerdekaQuranHour akan diadakan 30 Ogos ini bagi mengisi sambutan Hari Kebangsaan 2017 menerusi santapan rohani, di samping mengajak pembudayaan al-Quran dalam kalangan umat Islam.

“Kira-kira 5,000 termasuk rakyat bukan beragama Islam, pelancong dan gelandangan dijangka menyertai acara ini.

“Dataran Merdeka yang juga tempat bersejarah negara bakal menjadi bukti tanda perpaduan rakyat apabila mereka akan bersama-sama berkumpul membaca al-Quran sebagai satu usaha memerdekakan jiwa,” katanya.

Selain itu, bacaan al-Quran juga akan diadakan secara serentak di masjid di seluruh negara selama satu jam bersempena ibadah wukuf di Arafah pada 9 Zulhijjah yang secara kebetulan jatuh pada sambutan Hari Kebangsaan.

Katanya, pelbagai pengisian dirancang sepanjang program yang akan bermula dari jam 4 petang termasuk bacaan al-Quran daripada qari dan selebriti, solidariti bacaan dan doa untuk Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Ogos 2017 @ 6:20 AM