ANGGOTA polis memeriksa kereta yang ditahan.
ANGGOTA polis memeriksa kereta yang ditahan.
SEBANYAK 450 motosikal diperiksa ketika Op Tutup di Dataran Merdeka dan Jalan Raja Laut.
SEBANYAK 450 motosikal diperiksa ketika Op Tutup di Dataran Merdeka dan Jalan Raja Laut.
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Baru berusia 16 tahun dan masih bersekolah namun seorang remaja perempuan berani menunggang motosikal dipinjam daripada abang iparnya secara bersendirian untuk meronda di sekitar ibu kota ketika lewat malam.

Remaja terbabit yang menunggang motosikal tanpa lesen itu memberi alasan mahu melegakan tekanan menyebabkan dia tekad keluar dari rumahnya di Selayang jam 11 malam.

Namun, tindakannya itu mengundang padah apabila dia ditahan Jabatan Siasatan dan Penguatkusaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur dalam Op Tutup yang dijalankan di Dataran Merdeka dan Jalan Raja Laut, malam kelmarin.

Remaja itu antara 200 penunggang motosikal yang ditahan dan diberikan notis saman kerana tidak mempunyai lesen memandu dan pelbagai kesalahan lain.

Ketika ditahan, remaja perempuan itu memberitahu dia keluar dari rumah tanpa pengetahuan ibu bapa dengan menunggang motosikal milik abang iparnya.

“Saya hanya keluar sekejap saja untuk hilangkan tekanan, saya tidak pergi ke mana-mana dan hanya pusing sekitar bandar.

“Mak ayah memang tidak tahu saya keluar, tetapi saya ada beritahu abang ipar dan saya juga pinjam motosikal dia,” katanya.

Sementara itu, Ketua JSPT Kuala Lumpur Asisten Komisioner Nadzri Husin berkata, operasi dijalankan bermula jam 10 malam dengan kekuatan 67 anggota dan empat pegawai.

“Sebanyak 201 motosikal dan 15 kereta disaman membabitkan pelbagai kesalahan antaranya tiada lesen memandu, lesen tamat tempoh, tiada nombor plat, tiada cermin sisi dan nombor plat tidak mengikut peraturan.

“Daripada jumlah itu, kami menyita 20 motosikal dan sebuah kereta. Keseluruhan motosikal diperiksa antara 400 hingga 450 buah,” katanya.

Menurutnya, usaha penguatkuasaan dan operasi akan terus dijalankan dari semasa ke semasa untuk membanteras kegiatan mat rempit dan lumba haram serta pelbagai kesalahan lalu lintas lain.

“Semua kenderaan yang disita dibawa ke Balai Trafik Jalan Bandar untuk pemeriksaan lanjut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Ogos 2017 @ 5:46 AM