PEGAWAI dan anggota polis memeriksa kenderaan dalam Op Ambang Merdeka di Jalan Kuching dan Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE), awal pagi tadi.
PEGAWAI dan anggota polis memeriksa kenderaan dalam Op Ambang Merdeka di Jalan Kuching dan Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE), awal pagi tadi.
Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Kuala Lumpur: Tindakan tiga remaja menunggang motosikal sambil menunjukkan aksi berbahaya mengundang padah apabila mereka ditahan dalam Op Ambang Merdeka di dua lokasi, awal pagi, hari ini.

Operasi dijalankan mulai 12 tengah malam di Jalan Kuching dan Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE), di sini, selepas menerima maklumat.

Seramai empat pegawai dan 32 anggota Unit Risikan Operasi Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan (JSPT) Kuala Lumpur terbabit dalam operasi diketuai Pegawai Turus Penguatkuasaan JSPT Kuala Lumpur Deputi Superintendan Mohd Fadzli Md Yatim.

Ketua JSPT Kuala Lumpur Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh berkata, dalam serbuan pertama di Lebuhraya DUKE, pihaknya menahan seorang remaja berusia 17 tahun.

"Remaja berkenaan didapati menunggang motosikal secara berbahaya dengan menunjukkan pelbagai aksi termasuk terbang (fly) dan 'superman'.

"Siasatan awal mendapati suspek masih bersekolah di sebuah sekolah menengah di sekitar ibu kota," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sarifudin berkata, pihak polis turut menahan dua lelaki berusia 19 hingga 22 tahun yang menunggang motosikal dengan menunjukkan aksi berbahaya di Jalan Kuching, di sini.

"Dalam operasi sama, lapan motosikal disita mengikut Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana mengubahsuai kenderaan.

"Sebanyak 306 sama turut dikeluarkan atas pelbagai kesalahan trafik dan ubahsuai kenderaan dikeluarkan," katanya.

Menurutnya, semua individu yang ditahan dibawa ke Balai Polis Trafik Kuala Lumpur untuk siasatan mengikut Seksyen 42 dan Seksyen 108 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Operasi akan melakukan operasi berkenaan dari semasa ke semasa dalam usaha menyekat aktiviti samseng jalanan di ibu kota," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Ogos 2021 @ 1:04 PM