Kalidevi Mogan Kumarappa dan Siti A'isyah Sukaimi


BEKAS pegawai khas kepada mantan Pengerusi Felda ditahan reman lima hari bermula hari ini bagi membantu siasatan pembelian hotel oleh Felda Investment Cooperation (FIC) di Kuching, Sarawak.

Perintah tahanan reman terhadap suspek berusia 51 tahun itu dikeluarkan oleh Majistret Nik Isfahanie Tasnim Wan Ab Rahman di Mahkamah Majistret Putrajaya sehingga 5 Ogos.

Siasatan terhadap suspek dibuat mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Terdahulu, suspek yang turut diwakili peguam bela, Muhammad Rafique Rashid Ali dan Fahmi Abdul Muin dibawa ke mahkamah jam 2.20 petang.

Sebelum itu SPRM menahan bekas pegawai khas terbabit pada 4 pagi, hari ini, bagi membantu siasatan skandal pembelian hotel berkenaan.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Dzulkifli Ahmad berkata, lelaki itu ditahan di pejabat SPRM Putrajaya ketika hadir untuk memberi keterangan.

"Dia akan direman petang ini dj Mahkamah Putrajaya, " katanya selepas melancarkan Majlis Sahabat Gerah di Hotel Ansa, Kuala Lumpur, pagi tadi.

Dzulkifli pada 28 Julai lalu, mengarahkan kertas siasatan dibuka untuk pembelian hotel di Kuching pada 2014 itu yang disyaki dibeli dengan harga lebih tinggi berbanding pasaran.

Setakat ini, empat individu ditahan bagi membantu siasatan berhubung pembelian hotel berkenaan.

SPRM memulakan siasatan pembelian hotel di Kuching itu susulan maklumat diterima pasukan penyiasat ketika menjalankan siasatan pembelian hotel di London oleh FIC sebelum ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Ogos 2017 @ 2:04 PM
Pegawai SPRM membawa bekas pegawai khas kepada mantan Pengerusi FELDA sebelum direman lima hari bermula hari ini. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor.
Pegawai SPRM membawa bekas pegawai khas kepada mantan Pengerusi FELDA sebelum direman lima hari bermula hari ini. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor.