Liow menandatangani plak perasmian pembukaan pusat pengedaran global barangan Renesas Electronics. Turut sama Pegawai Eksekutif Pengurusan Yusen Logistics Japan, Toshiyuki Kimura (kiri), Naib Presiden Eksekutif Renesas Electronics Japan, Manabu Kawashima ( tiga dari kanan) dan Pengerusi Eksekutif TASCO Berhad, Lee Check Poh (kanan) di Kompleks Kargo KLIA.  FOTO Ahmad Irham Mohd Noor

Mohd Husni Mohd Noor

KEMENTERIAN Pengangkutan akan bertemu dengan waris dan ahli keluarga mangsa tragedi Malaysia Airlines MH17 pada 13 Julai ini bagi memberi taklimat terkini perkembangan siasatan kes berkenaan yang kini sudah memasuki tahun ketiga.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, kerajaan mengulangi pendirian bahawa keadilan perlu ditegakkan dan suspek yang terbabit dalam tragedi berkenaan perlu di bawa ke mahkamah.

"Kami kini bertungkus lumus untuk membawa suspek ke mahkamah," katanya pada sidang media selepas menyempurnakan majlis pembukaan pusat pengedaran global barangan Renesas Electronics di Kompleks Kargo KLIA, hari ini.

Katanya, taklimat berkenaan akan diadakan di Hotel Marriot Putrajaya sempena ulang tahun ketiga tragedi berkenaan.

Sebelum ini, Liow berkata, Malaysia bersama empat negara lain bersetuju bahawa pendakwaan terhadap mereka yang bertanggungjawab bagi penembakan pesawat MH17 di Ukraine pada 2014 akan dilakukan di Belanda.

Menurutnya, Malaysia bersama-sama dengan rakan dalam Pasukan Penyiasat Bersama (JIT) iaitu Belanda, Belgium, Ukraine dan Australia bersetuju mengenai pendakwaan nasional dibuat di Belanda sebagai proses yang efektif bagi memastikan kebertanggungjawaban untuk mematuhi standard tertinggi antarabangsa.

"Perbicaraan akan berlangsung dalam rangka prosiding keadilan jenayah Belanda berdasarkan undang-undang jenayah substantif dan prosedur,” katanya.

Pesawat Boeing B777 itu, dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur dengan membawa 298 penumpang termasuk anak kapal, apabila ditembak jatuh di timur Ukraine pada 17 Julai,  2014.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Julai 2017 @ 3:10 PM