Mohd Husni Mohd Noor


MALAYSIA tetap mahu bukti kukuh sebelum sebarang pendakwaan dibuat terhadap individu atau pihak bertanggungjawab yang menembak jatuh pesawat Malaysia Airlines MH17 pada 2014, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perdana Menteri berkata, kerajaan pada dasarnya kurang gembira dengan keputusan oleh Pasukan Siasatan Bersama (JIT) MH17 semalam yang memutuskan untuk mendakwa dalang kes berkenaan.

“Kita tidak gembira kerana ia (kes MH17) menjadi isu politik sejak awalnya tentang bagaimana untuk mendakwa Russia membuat kesalahan.

“Walaupun sebelum mereka (JIT) siasat mereka telah menuduh, sekarang mereka kata mereka ada bukti, tetapi susah bagi kita untuk menerimanya,” katanya ketika ditemui pada majlis sambutan Aidilfitri anjuran Jabatan Perdana Menteri (JPM) di Putrajaya, hari ini.

Ditanya adakah kerajaan bimbang memandangkan Russia turut mempunyai kepentingan dalam industri minyak sawit negara, Dr Mahathir berkata, perkara itu bukan isunya.

“Apa yang penting kita mahu bukti pembabitan Russia dalam kes ini, setakat ini tidak ada bukti, hanya cakap-cakap sahaja, kita mahu bukti kukuh daripada pihak penyiasatan.

“Sudah pasti dari awal lagi ini satu tindakan bermotivasikan politik. Mereka mahu menuduh Russia kerana mereka kata mereka ada bukti tentang siapa orang itu. Ini tak masuk akal,” katanya.

Ditanya jika Russia enggan bekerjasama dalam kes berkenaan, Perdana Menteri berkata, tiada apa yang boleh dilakukan sebuah negara kecil seperti Malaysia

Semalam, JIT MH17 mendedahkan empat suspek iaitu tiga dari Russia dan seorang dari Ukraine adalah dalang utama menembak jatuh pesawat malang itu

Pada sidang media secara langsung di Belanda, hari ini, JIT turut menamakan semua suspek dikenali sebagai Igor Girkin, Sergey Dubinskiy, Oleg Pulatov, dan Leonid Kharchenko semuanya bekerja untuk agensi perisikan tentera (GRU) dari puak pemisah Donetsk People’s Republic ketika kejadian.

Semua suspek akan didakwa di Mahkamah Jenayah Belanda.

Dalam tragedi 17 Julai 2014, pesawat Malaysian Airlines MH17 meletup di udara ketika terbang dari Amsterdam ke Kuala Lumpur di ruang udara timur Ukraine.

Semua 298 penumpang, sebahagian besarnya rakyat Belanda serta anak kapal terbunuh.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Jun 2019 @ 4:15 PM