Tengku Zaihan (baju putih) memberi sokongan kepada Mansor pada Majlis Pelepasan Ekspedisi Ekspresi Negaraku Kayak Solo 2017 di Pantai Bukit Keluang. FOTO Mohammad Ishak
Tengku Zaihan (baju putih) memberi sokongan kepada Mansor pada Majlis Pelepasan Ekspedisi Ekspresi Negaraku Kayak Solo 2017 di Pantai Bukit Keluang. FOTO Mohammad Ishak
Mohammad Ishak


PESARA kerajaan menjadikan sebiji pisang dan sebotol air minuman sebagai bekalan tenaganya bagi setiap destinasinya dalam misi untuk mengelilingi Semenanjung Malaysia dalam Ekspedisi Ekspresi Negaraku Kayak Solo 2017.

Warga emas terbabit, Mansor Omar, 70, berkata, pisang dan air berkenaan cukup untuk memberi tenaga kepadanya sebaik mula berkayak sebelum singgah di setiap destinasi seperti yang dijadualkan sepanjang misinya itu.

"Pisang dapat membantu memberi tenaga kepada saya ketika berkayak selain air minuman bagi mengelak berlaku kekurangan air dalam badan sepanjang tempoh berkayak," katanya.

Mansor berkata demikian ketika ditemui di majlis pelepasan di Pantai Bukit Keluang, dekat Jertih, hari ini, dalam misi Ekspedisi Ekspresi Negaraku Kayak Solo 2017 yang bermula di Pengkalan Kubor, Tumpat pada 1 Julai lalu.

Majlis pelepasannya di Pantai Bukit Keluang itu disempurnakan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan Negeri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Besut, Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman.

Mansor tiba di Pantai Bukit Keluang pada 2 petang semalam selepas berkayak dari Pantai Melawi, Bachok sebelum berehat di Besut dan meneruskan misinya 9 pagi hari ini dan singgah di Pantai Penarik, Setiu.

Warga emas berkenaan yang juga penolong jurulatih Kem Rekreasi Air Negeri Terengganu akan berkayak selama 60 hari sempena sambutan Hari Kebangsaan Ke-60 pada tahun ini, bermula di Kelantan dan dijangka berakhir di Kuala Perlis, Perlis pada 9 September ini.

"Sehingga kini, saya tidak mempunyai apa-apa masalah ketika berkayak sepanjang pantai di Kelantan hingga sampai di Besut ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Julai 2017 @ 5:38 PM