MOHAMMAD Redzuan melihat motosikal  dan van yang rentung  dalam kebakaran.
MOHAMMAD Redzuan melihat motosikal dan van yang rentung dalam kebakaran.
myMetro

Bagan Serai: Rumah kediaman anak Yatim di Simpang Empat Selinsing, di sini, hampir hangus apabila van pengangkutan kediaman terbabit meletup dan terbakar, tengah malam kelmarin.

Dalam kejadian jam 12 tengah malam itu, van jenis Mitsubishi Delica musnah selain motosikal Suzuki Smash, milik persendirian pengurusan asrama berkenaan turut hangus.

Pengurus Asrama Rumah Anak Yatim Tasawwur Islam Mohammad Redzuan Samsuri berkata, ketika kejadian semua penghuni asrama itu baru hendak melelapkan mata, terkejut apabila mendengar bunyi letupan kuat dari pekarangan asrama.

Menurutnya sebaik diperiksa, dia terkejut apabila melihat van yang diparkir di dalam pagar terbakar.

"Sebaik melihat kejadian saya segera bertindak untuk memadamkan kebakaran namun gagal berikutan api marak sehingga membakar sebuah motosikal berhampiran van itu.

"Kejadian turut menyebabkan sebahagian siling kediaman runtuh akibat kebakaran itu," katanya.

Redzuan berkata, melihat api yang semakin merebak, dia segera menghimpunkan 15 anak yatim penghuni asrama yang berusia antara tujuh dan 13 tahun ke satu kawasan selamat dan menghubungi talian kecemasan bagi meminta bantuan.

Mohamad Redzuan berkata, ketika cuti hari perayaan minggu lalu, van berkenaan langsung tidak digunakan dan hanya disimpan di dalam perkarangan kediaman itu.

"Petang sebelum kejadian sekitar jam 6.30 petang, saya cuba menghidupkan van terbabit namun gagal dan saya cuba menggunakan kaedah 'jumper' namun ia gagal dihidupkan.

"Saya percaya ia mungkin disebabkan masalah pendawaian berikutan beberapa bulan ini van berkenaan pernah mengalami kerosakan enjin dan sudah dibaik pulih," katanya.

Menurutnya, pihaknya kerugian sekitar RM20,000 dan buntu memikirkan nasib yang dialami berikutan van berkenaan satu-satunya kenderaan yang digunakan untuk menghantar dan mengambil anak-anak yatim yang bersekolah di sini.

Rumah Anak Yatim Tasawwur Islam adalah antara rumah anak yatim yang turut menerima sumbangan Kotak Rezeki Titipan Kasih Harian Metro (TKHM) tahun lalu dan kepada orang awam yang ingin membantu kediaman ini boleh terus berhubung dengan pengurusan kediaman di talian 018-9522386 atau 019-3847544.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Julai 2017 @ 7:09 AM