Mustapa (dua kiri) bersama Pengarang Eksekutif (Pengeluaran/ BPI) Harian Metro merangkap Pengerusi TKHM Othman Mamat (kiri) menyampaikan sumbangan Kotak Rezeki kepada Siti Nur Ain Farhana (tiga dari kiri) sempena program TKHM 2016 di Bagan Serai. FOTO Ghazali Kori
Mustapa (dua kiri) bersama Pengarang Eksekutif (Pengeluaran/ BPI) Harian Metro merangkap Pengerusi TKHM Othman Mamat (kiri) menyampaikan sumbangan Kotak Rezeki kepada Siti Nur Ain Farhana (tiga dari kiri) sempena program TKHM 2016 di Bagan Serai. FOTO Ghazali Kori
Mazizul Dani


Bagan Serai: "Ramai yang kecam dan tuduh saya tak layak kendalikan rumah anak yatim kerana saya muda. Ada juga yang datang ke rumah ini menuduh saya menggunakan duit anak yatim untuk kegunaan saya.

"Tak cukup dengan itu, ada juga yang menghasut menerusi Facebook (FB) supaya jangan memberi sumbangan kepada rumah anak yatim.

"Mereka kata rumah ini kaya, anak-anak yatim di sini makan mewah dan tak perlu beri sumbangan. Tapi mereka hanya nampak luaran, tidak tahu apa yang sebenarnya berlaku."

Itu luahan Pengerusi Kediaman Cahaya Ain, Taman Serai Wangi, di sini, Siti Nur Ain Farhana Johari, 29, yang kecewa apabila rumah yang memberi perlindungan kepada 14 anak yatim di sini sukar menerima bantuan daripada orang ramai.

Dia juga sedih kerana usahanya membela nasib golongan kurang bernasib baik dipandang serong oleh segelintir pihak sedangkan bantuan yang diterima hanya sekali-sekala.

Bagaimanapun, katanya, kecaman dan tuduhan liar yang dilemparkan orang luar itu yang turut mengugut untuk memberi tekanan sehingga rumah itu ditutup, langsung tidak melemahkan semangatnya.

"Saya terbuka hati untuk membantu orang susah kerana sebelum ini saya berkhidmat di sebuah rumah anak yatim di Kuala Lumpur selama tujuh tahun dan kini dibantu empat lagi adik-beradik saya menguruskan rumah ini.

"Harta yang saya ada sekarang saya peroleh sebelum saya buka rumah ini. Malah saya kongsikan semua harta yang saya ada dengan anak-anak ini seperti van untuk menghantar mereka ke sekolah. Saya tidak guna sesen pun wang anak yatim untuk kegunaan sendiri," katanya ketika ditemui petang tadi.

Kediaman yang diasaskannya sejak lebih setahun lalu itu antara yang mendapat perhatian Harian Metro apabila menerima bantuan Kotak Rezeki berupa barangan keperluan asas, yang disampaikan Pengarang Kumpulan Harian Metro, Datuk Mustapa Omar sempena program Titipan Kasih Harian Metro (TKHM) 2016.

Mustapa bersama jawatankuasa dan sukarelawan turut menyampaikan tiga lagi Kotak Rezeki masing-masing kepada Maahad Tahfiz As Syakirin, Maahad Tahfiz Al Akhlak Al Islamiah dan Rumah Anak Yatim Tasawwur Islam manakala 15 lagi Kotak Rezeki keluarga kepada golongan asnaf.

Menurut Mustapa, program #HMkotakrezeki akan menjelajah ke 37 lokasi di seluruh Semenanjung Malaysia dan Bagan Serai adalah lokasi pertama.

"Program ini adalah pendekatan baru daripada Harian Metro sebagai tanda penghargaan kepada pembaca setia akhbar ini sempena ulangtahun ke 25 kami," katanya.

Sementara itu, penerima Kotak Rezeki, Salasiah Napiah, 65, bersyukur dengan pemberian berkenaan.

"Alhamdulillah atas rezeki ini. Terima kasih banyak-banyak kepada Harian Metro, siapa nak bagi kan? Sebab saya tinggal dengan anak angkat saja, suami baru meninggal dunia dua bulan lalu," katanya.

Selain itu, 150 Kotak Rezeki individu turut diagihkan di sekitar Alor Pongsu, di sini termasuk di bazar ramadan dan kepada anggota keselamatan yang bertugas.

Selesai saja pengagihan Kotak Rezeki, satu Majlis Tahlil dan Doa Selamat sempena Ulangtahun ke-25 Harian Metro diadakan di Surau Nurul Hasanah, Kampung Parit Abu Hassan di sini.

Surau berkenaan tidak asing lagi bagi Harian Metro kerana telah dibaikpulih sempena program TKHM tahun lalu untuk kegunaan penduduk setempat.

Program kemudiannya diteruskan dengan majlis berbuka puasa bersama kira-kira 200 penduduk kampung.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Jun 2016 @ 10:34 PM