ANGGOTA bomba memadamkan kebakaran.
ANGGOTA bomba memadamkan kebakaran.
myMetro

Nilai: Dua beranak nyaris maut apabila kereta dinaiki terbakar di Kilometer 280.7 Lebuhraya Utara-Selatan arah utara berhampiran Plaza Tol Nilai, di sini, semalam.

Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Nilai Mohd Fauzi Shamir berkata, dalam kejadian jam 6.50 pagi, mangsa R Yugeswari, 33, dan ibunya berusia 64 tahun dalam perjalanan dari Port Dickson menuju ke Subang Jaya, Selangor.

Menurutnya, secara tiba-tiba Yugeswari menyedari bahagian enjin kereta Proton Persona dipandunya berasap sebelum api marak.

“Disebabkan itu Yugeswari memberhentikan kereta di bahu jalan dan bertindak keluar dari kereta bersama ibunya untuk menyelamatkan nyawa. Api marak begitu pantas sehingga memusnahkan kenderaan itu.

“Pihak kami (bomba) menerima panggilan pada jam 6.58 pagi (semalam) lalu mengerahkan 10 anggota dan dua jentera ke lokasi. Sebaik tiba 15 minit kemudian, anggota mendapati kereta itu sudah dijilat api,” katanya.

Katanya, kenderaan itu mengalami kerosakan kira-kira 80 peratus, dan kejadian turut mengakibatkan kesesakan lalu lintas sejauh dua kilometer.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Jun 2017 @ 11:02 AM