Ramli melihat wang tunai yang dirampas semula oleh polis berhubung kes pecah sebuah restoran di Penampang. FOTO  Mohd Adam Arinin
Ramli melihat wang tunai yang dirampas semula oleh polis berhubung kes pecah sebuah restoran di Penampang. FOTO Mohd Adam Arinin
Norasikin Daineh


POLIS menahan lima suspek bagi membantu kes kecurian di sebuah restoran di Plaza 333, Penampang, semalam.

Suspek berusia antara 17 hingga 23 tahun itu yang terdiri daripada dua wanita dan tiga lelaki adalah pekerja restoran terbabit.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Ramli Din berkata, turut dirampas wang tunai sebanyak RM72,000 dan tiga televisyen dipercayai dicuri dari restoran.

"Kejadian berlaku pada 7.30 pagi semalam ketika pengurus kedai mahu memulakan perniagaan dan mendapati tiga unit televisyen yang tergantung hilang.

"Pemeriksaan juga mendapati peti besi tempat penyimpanan wang terbuka dan sebanyak RM72,096.70 didapati hilang sebelum laporan polis dibuat pada 10.30 pagi hari sama," katanya ketika ditemui dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang, hari ini.

Katanya, hasil siasatan lanjut, polis menangkap lima suspek dipercayai terbabit dalam kes itu pada 1 tengah hari di premis itu juga.

"Hasil siasatan, empat daripadanya adalah pekerja restoran itu manakala seorang lagi bekas pekerja," katanya.

Ramli berkata, susulan tangkapan itu polis berjaya menyelesaikan kes berkenaan dalam masa yang singkat.

"Kes berjaya diselesaikan dalam tempoh selama lapan jam. Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Jun 2017 @ 1:41 PM