MOHD Haris. FOTO Juwan Riduan
MOHD Haris. FOTO Juwan Riduan
Juwan Riduan


Penampang: Tidak sampai 24 jam memecah masuk sebuah rumah orang kenamaan (VIP) di Putatan, di sini, tiga penjenayah berjaya diberkas polis kelmarin.

Suspek lelaki tempatan berusia 31 hingga 37 tahun itu ditahan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang, kira-kira jam 9 malam.

Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata, semua suspek ditahan susulan laporan dibuat pemilik rumah berkenaan jam 10.23 pagi, Khamis lalu.

Katanya, suspek dipercayai membuka pintu pagar zink dan mengumpil tombol besi sebelum masuk melalui dapur.

"Pemeriksaan mendapati dompet mengandungi wang tunai, kad kredit dan dokumen penting hilang. Sejumlah wang bernilai RM7,000 dan duit tabung turut dilaporkan hilang.

"Bertindak atas laporan itu, polis berjaya mengesan dan menangkap tiga lelaki disyaki terbabit dalam kes itu di tiga lokasi berasingan jam 9 malam," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Haris berkata, hasil serbuan itu, polis merampas telefon bimbit yang disyaki milik pengadu.

"Siasatan lanjut mendapati dua daripada tiga suspek mempunyai rekod jenayah lampau mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Ujian saringan air kencing mendapati semua suspek positif syabu," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana melakukan pecah rumah.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Februari 2021 @ 8:04 PM