Perdana Menteri bersama Umi Kalsum Ayub dan anaknya Sofea Qaisara, 5, dan Sofia Qalisya, 7, (tengah) ketika menyambut kedatangan keluarga itu memasuki rumah baru mereka di Pangsapuri Putra Damai Presint 11, Putrajaya, hari ini. -  Foto Bernama
Perdana Menteri bersama Umi Kalsum Ayub dan anaknya Sofea Qaisara, 5, dan Sofia Qalisya, 7, (tengah) ketika menyambut kedatangan keluarga itu memasuki rumah baru mereka di Pangsapuri Putra Damai Presint 11, Putrajaya, hari ini. - Foto Bernama
BERNAMA

TIDAK terlintas di fikiran Ummi Kalthom Ayub untuk mendapat rumah baru bagi menyambut Aidilfitri tahun ini.

Ibu tunggal 37 tahun itu mendukung anak bongsu, Sofea Qaisara Syafiq Khuzairil, 5, yang mengalami masalah penglihatan, cacat fizikal dan pembelajaran (dandy walker syndrome) sambil memegang tangan seorang lagi anaknya Sofea Qalisya, 7, terkejut apabila memasuki rumah di Pangsapuri Putra Damai di Presint 11, Putrajaya, hari ini.

Terkejut kerana Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sedang menunggu mengalu-alukan kehadiran mereka di unit pangsapuri dilengkapi perabot baru itu.

Unit pangsapuri itu kini tempat tinggal baru keluarga berkenaan bagi meneruskan kehidupan lebih selesa, khususnya pada Aidilfitri tahun ini.

"Saya tidak tahu nak kata apa-apa. Saya tidak sangka dan terkejut... ini hadiah paling istimewa Perdana Menteri kepada kami.

“Terima kasih. Tidak sangka kami mendapat rezeki ini. Allah sahaja yang boleh balas. Terima kasih semua," katanya sambil mengalirkan air mata

Dalam pertemuan singkat itu, Najib juga bertanyakan keadaan Sofea Qaisara dan sama ada dia mendapat rawatan di hospital atau tidak.

Unit kediaman tiga bilik seluas 700 meter persegi itu dilengkapkan perabot dan kelengkapan seperti bilik mainan, sofa, televisyen, mesin basuh, peti ais dan dapur.

Umi Kalsum bersama anaknya Sofea Qaisara, 5, dan Sofia Qalisya, 7, (kanan) kini mendapat rumah baru dilengkapi perabot, bilik mainan, sofa, televisyen, mesin basuh, peti ais dan peralatan dapur.  - Foto Bernama
Umi Kalsum bersama anaknya Sofea Qaisara, 5, dan Sofia Qalisya, 7, (kanan) kini mendapat rumah baru dilengkapi perabot, bilik mainan, sofa, televisyen, mesin basuh, peti ais dan peralatan dapur. - Foto Bernama

Selain itu, Najib juga menghulurkan kad jemputan kepada Umi Kalthom untuk menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Perdana Menteri dan Jemaah Menteri di Seri Perdana pada Hari Raya pertama nanti.

Sofea Qaisara dan kakaknya kelihatan ceria apabila mendapat baju raya dan duit raya daripada Perdana Menteri.

Sementara itu, Najib berkata, beliau tersentuh apabila berjumpa dengan Sofea Qaisara ketika beramah mesra dan menyampaikan sumbangan kepada golongan kelainan upaya di Bazar Ramadan di sini, pada 8 Jun lalu.

“Selepas mengetahui keadaan rumah diduduki mereka, saya meminta pegawai-pegawai mendapatkan unit baru untuk keluarga kurang bernasib baik ini.

“Saya berharap rumah baharu ini, anda sekeluarga boleh meneruskan kehidupan yang lebih selesa," katanya.

Sebelum ini, Najib meminta Jabatan Kebajikan Masyarakat menghulurkan bantuan RM300 sebulan dan bekalan lampin setahun kepada Sofea Qaisara

Ummi Kalthom kini bekerja sebagai pembantu operasi di myFarm Outlet di sini, dengan gaji bulanan RM1,000. Beliau terpaksa membawa anaknya ke tempat kerja berikutan tiada orang menjaga mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Jun 2017 @ 9:27 PM