ZULKIFLI  diberi penerangan.
ZULKIFLI diberi penerangan.
Mohd Sabran Md Sani


Kota Tinggi: Sebuah lokasi rahsia di Hutan Melintang di Perak dikenal pasti sebagai lokasi digunakan sindiket penyeludupan manusia untuk menyeludup keluar pendatang asing tanpa izin (PATI) pulang ke negara asal sepanjang Ramadan.

Ketua Pengarah Maritim Malaysia Laksamana Maritim Datuk Zulkifli Abu Bakar berkata, penemuan itu hasil risikan anggotanya berkaitan aktiviti menyeludup keluar warga asing dari beberapa negeri di negara ini.

“Hasil risikan, sebahagian besar warga Indonesia yang menggunakan khidmat ejen haram dan bekerja di seluruh negara seperti Kelantan, Selangor, Perlis dan Negeri Sembilan akan pulang ke republik itu menggunakan laluan haram.

“Ejen terbabit akan menyediakan kenderaan darat di setiap negeri untuk membawa warga Indonesia ke Hutan Melintang selain menyediakan bot untuk mereka pulang ke negara asal,” katanya pada sidang media di atas KM Pekan di perairan Tanjung Sedili di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika melawat operasi kapal berkenaan sempena Majlis Berbuka Puasa Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Bersama Media di kapal sepanjang 92 meter itu.

Turut serta Pegawai Memerintah KM Pekan Kapten Maritim Robert Teh Geok Chuan, Timbalan Pengarah Operasi Wilayah Selatan Kapten Maritim Sanifah Yusof dan Pengarah Maritim Daerah Tanjung Sedili Kapten Maritim Amran Daud.

Zulkifli berkata, warga Indonesia sanggup memperjudikan nyawa dengan menggunakan khidmat ejen haram untuk pulang ke negara asal melalui laluan tidak selamat biarpun sedar ia membahayakan keselamatan.

“Malah Ramadan menjadi masa terbaik untuk mereka menggunakan khidmat ejen haram yang beroperasi di seluruh negara.

“Kami percaya warga asing menggunakan pelbagai inisiatif seperti mendapatkan khidmat bot nelayan asing sebagai alternatif keluar dari negara ini,” katanya.

Menurut beliau, kumpulan warga asing itu tidak memikirkan soal keselamatan sebaliknya sanggup membayar sejumlah wang kepada ejen untuk pulang ke negara asal menggunakan bot walaupun bot padat.

Zulkifli berkata, selain Hutan Melintang, Pengerang, Batu Pahat, Selangor dan Linggi di Melaka turut dijadikan lokasi penyeludupan keluar warga asing.

Mengulas lanjut, katanya, pihaknya turut mengesan taktik terbaru warga asing untuk menyeludup keluar iaitu menggunakan bot tukar barang.

“Kami laksanakan Ops Pagar Laut sepanjang Ramadan ini bagi mengawasi perairan negara daripada aktiviti penyeludupan serta pergerakan keluar masuk warga asing,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Jun 2017 @ 6:40 AM