Awang Mohd Tahir hadir ke mahkamah selepas ditahan sejak tahun lalu atas pertuduhan pecah amanah di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu. FOTO Izhari Ariffin
Awang Mohd Tahir hadir ke mahkamah selepas ditahan sejak tahun lalu atas pertuduhan pecah amanah di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu. FOTO Izhari Ariffin
Norasikin Daineh


MAHKAMAH Tinggi Kota Kinabalu membenarkan permohonan menggunakan geran tanah bernilai tidak kurang RM2 juta untuk membayar ikat jamin bekas Pengarah Jabatan Air Sabah, Awang Mohd Tahir Awang Talib, hari ini.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Nurcahaya Arshad membenarkan pembayaran itu selepas mendengar hujah pihak pendakwaan dan pembelaan untuk permohonan itu.

Nurcahaya berkata, permohonan itu adalah untuk melakukan pembayaran dengan mempelbagaikan cara bayaran.

“Permohonan hari ini adalah untuk mempelbagaikan pembayaran dengan RM500,000 sebagai deposit.

“Baki deposit sebanyak RM1.5 juta akan diperoleh dengan cara mendepositkan salinan asal geran tanah bersama dengan laporan penilaian dari penilai berkelayakan dengan nilai tidak kurang daripada RM2 juta," katanya di Mahkamah Tinggi, hari ini.

Terdahulu, peguam tertuduh merayu kepada mahkamah supaya Awang Mohd Talib dibenarkan ikat jamin dengan menggunakan geran tanah untuk membebaskan dia yang ditahan sejak tahun lalu.

Peguam, Mohd Nor Yusof yang mewakili Awang Mohd Tahir ketika merayu berkata, ahli keluarga anak guamnya hanya mampu mengumpulkan wang tunai sebanyak RM500,000 dan menawarkan geran tanah itu sebagai jaminan.

Pada Januari lalu, Mahkamah Sesyen membenarkan ikat jamin dengan nilai jaminan terhadap Awang Mohd Tahir dikurang daripada RM10 juta kepada RM5 juta dengan RM2 juta daripadanya dibayar sepenuhnya oleh seorang penjamin.

Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Rozanna Abd Hadi.

Pada 29 Disember lalu, Awang Mohd Tahir, 55, dan isterinya, Fauziah Piut, 52, serta bekas penasihat teknikal dan kejuruteraan Kementerian Kewangan Sabah, Lim Lam Beng, 63, mengaku tidak bersalah terhadap 37 pertuduhan menyeleweng dana infrastruktur berjumlah RM61.48 juta.

Awang Mohd Tahir berdepan 12 pertuduhan melakukan penyelewengan dana infrastruktur berjumlah RM56.9 juta dan memiliki pelbagai jam tangan dan kenderaan mewah serta terbabit secara langsung dalam satu transaksi wang tunai berjumlah RM14,000 kepada Cristine Fiona M Ponsoi.

Fauziah pula berdepan 19 pertuduhan memiliki barangan kemas, beg mewah dan RM2.2 juta dalam akaun bank. Dia dan suaminya turut berdepan dua pertuduhan bersama memiliki barangan kemas secara tidak sah.

Sementara itu, Lim yang juga bekas Timbalan Pengarah Jabatan Air Sabah, berdepan tiga pertuduhan memiliki wang tunai RM2.38 juta dan kenderaan mewah secara tidak sah.

Mereka didakwa melakukan kesalahan pengubahan wang haram yang boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1)(b) dan 4 (1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFAPUA).

Perbicaraan kes itu dijadualkan sepanjang Julai dan Ogos ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Jun 2017 @ 5:44 PM