Awang Mohd Tahir ketika hadir di Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu.
Awang Mohd Tahir ketika hadir di Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu.
HM Digital

Kota Kinabalu: Seramai 215 saksi akan dipanggil memberi keterangan pada perbicaraan peringkat pendakwaan kes bekas Pengarah Jabatan Air Negeri Sabah (JANS), isterinya dan seorang lagi bekas timbalan pengarah di jabatan itu yang dituduh di Mahkamah Sesyen atas 37 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan nilai RM61.57 juta.

Mahkamah turut menetapkan kes itu dibicarakan bermula 5 Februari tahun depan.

Hakim Abu Bakar Manat menetapkan sedemikian pada pengurusan kes berkenaan, semalam.

Beliau turut mengarahkan supaya pihak pendakwaan dan pihak pembelaan menyelesaikan semua perkara berbangkit termasuk mengemukakan keputusan representasi tertuduh sebelum kes itu dibicarakan.

“Tarikh 29 November depan pula sekali lagi ditetapkan untuk pengurusan kes. Tiada lagi penangguhan tarik perbicaraan selepas ini,” katanya.

Pada 29 Disember tahun lalu, tertuduh, Awang Mohd Tahir Mohd Talib, 54, isterinya, Fauziah Piut, 51, dan Lim Lam Beng, 62, mengaku tidak bersalah
di Mahkamah Sesyen atas semua pertuduhan.

Awang Mohd Tahir didakwa atas 12 pertuduhan iaitu lapan tuduhan memiliki wang RM56,965,329.15 dalam empat akaun bank, dua pertuduhan memiliki enam kenderaan mewah, satu tuduhan memiliki 86 jam tangan mewah pelbagai jenama dan tuduhan terakhir, terbabit dalam transaksi wang tunai RM14,000 kepada Cristine Fiona M Ponsoi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Ogos 2017 @ 6:33 AM