IDRIS (dua dari kanan) bersama naib canselor universiti tempatan selepas sidang media mengenai pencapaian universiti, semalam.
IDRIS (dua dari kanan) bersama naib canselor universiti tempatan selepas sidang media mengenai pencapaian universiti, semalam.
Siti A’isyah Sukaimi


Putrajaya: Lima universiti penyelidikan Malaysia iaitu Universiti Malaya (UM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universiti Sains Malaysia (USM) tersenarai dalam kalangan 300 universiti terbaik dunia.

Kejayaan bagi kedudukan lima universiti itu diterbitkan agensi penarafan universiti dunia Quacquarelli Symonds (QS) bagi 2017/2018.

Menteri Pendidikan Datuk Seri Idris Jusoh berkata, hasil peningkatan itu membolehkan lima universiti berkenaan berada dalam kelompok satu peratus teratas daripada lebih 26,000 universiti di seluruh dunia.

Katanya, UM dan UPM menunjukkan peningkatan untuk lima tahun berturut-turut iaitu 2013 hingga 2017.

“UM kini di kedudukan ke-114 iaitu di ambang kelompok 100 terbaik dunia serta diharapkan dapat menzahirkan impian mencapai sasaran itu menjelang 2020, tetapi saya yakin ia boleh dicapai lebih awal.

“UPM mencapai peningkatan tertinggi sebanyak 182 tempat menjadikan kedudukan terkini ialah tempat ke-229 jika dibandingkan kedudukan ke-411 dunia pada 2013/2014,” katanya di sini, semalam.

Katanya, UKM pula berada di kedudukan ke-230 di dunia iaitu peningkatan sebanyak 72 tempat jika dibandingkan pada tahun 2016/2017 yang berada di kedudukan ke-302.

“UTM pula mencatatkan peningkatan memberangsangkan apabila meningkat sebanyak 102 tempat daripada 355 pada 2013/2014 kepada 253 pada 2017/2018.

“Seterusnya, USM yang menyaksikan penurunan tahun lalu juga meningkat sebanyak 66 tempat pada tahun ini iaitu daripada 330 pada 2016/2017 ke-264 pada 2017/2018,” katanya.

Idris berkata, daripada lebih 26,000 universiti luar negara, hanya 980 disenarai pendek QS untuk penarafan kedudukan dunia.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Jun 2017 @ 6:09 AM