Anggota bomba berusaha mengeluarkan mangsa. FOTO Harun Yahya
Anggota bomba berusaha mengeluarkan mangsa. FOTO Harun Yahya
Harun Yahya

PERJALANAN pulang sebuah keluarga bagi menyambut Hari Gawai bertukar tragedi apabila pacuan empat roda Nissan Frontier dinaiki terjunam ke gaung sedalam kira-kira 12 meter di Jalan Ajong dekat sungai Ulu Padeh di Betong di sini, jam 6.30 pagi hari ini.

Nissan Frontier terbabit yang dinaiki empat sekeluarga berusia 20-an sehingga 51 tahun dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas dan terjunam ke gaung.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Betong Hendry Jugah berkata, mangsa membabitkan suami isteri dan dua lelaki.

“Mereka hanya cedera ringan. Seorang daripada mangsa, Ngabong Menuing yang berusia 51 tahun mendaki gaung bagi mendapatkan talian telekomunikasi sebelum menghubungi pasukan keselamatan.

“Kami menerima panggilan kecemasan jam 8.43 pagi sebelum anggota Balai Bomba dan Penyelamat Betong dikerah ke lokasi.

“Semua mangsa dapat dikeluarkan daripada gaung dan hanya Everlyn Ngaji yang berusia 40-an, dibawa ke Hospital Betong untuk rawatan,” katanya kepada Harian Metro, semalam.

Katanya, pihaknya difahamkan mangsa sekeluarga dalam perjalanan dari Rumah Panjang Impit di sini, menuju ke Bintulu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Jun 2017 @ 6:11 PM