Laporan Harian Metro sebelum ini.
Laporan Harian Metro sebelum ini.
Mohd Husni Mohd Noor


SEORANG daripada tiga penuntut Malaysia di Manchester, United Kingdom (UK) yang disoal siasat berhubung insiden bom pada 22 Mei lalu, tiba di KLIA pada 5.18 petang hari ini.

Ketibaan penuntut University of Manchester yang dikenali sebagai Muhamad Helmi, 22, berasal dari Negeri Sembilan itu disambut oleh Pengerusi Biro Pelajar Luar Negara Datuk Seri Reezal Merican.

Reezal yang juga Timbalan Menteri Luar berkata, beliau ingin menegaskan bahawa kepulangan pelajar itu ke tanah air hari ini adalah sempena cuti pengajian musim panas yang kebetulannya bermula berdekatan Aidilfitri dan bukannya dihantar pulang.

Menurutnya, beliau secara peribadi turut menasihatkan pelajar berkenaan untuk pulang ke tanah air bagi memberi peluang untuk menghabiskan masa bersama keluarga selain meredakan kebimbangan ibu dan bapa pelajar itu.

"Kami nak maklumkan bahawa pelajar itu dibebaskan tanpa syarat oleh agensi anti jenayah kebangsaan United Kingdom malah, dia juga akan kembali semula ke sana untuk menyambung pelajaran di tahun ketiga dalam jurusan falsafah dan sains politik di University of Manchester.

"Insiden berkenaan pastinya meninggalkan kesan trauma terhadap pelajar berkenaan dan kepulangannya hari ini memberi kelegaan dan meredakan kebimbangan keluarganya selama ini," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Katanya, beliau juga mengesahkan dua lagi pelajar lain yang disiasat berkaitan insiden sama dijangka tiba di tanah air beberapa hari lagi.

Dalam insiden serangan bom di konsert penyanyi pop Amerika Syarikat, Ariana Grande di Manchester Arena pada 22 Mei lalu, seramai 23 orang termasuk kanak-kanak maut manakala 59 lagi cedera apabila penyerang berani mati, Salman Abedi, 22, meletupkan alat letupan yang diubah suai.

Difahamkan, tiga pelajar Malaysia adalah antara 16 individu yang disiasat bagi membantu siasat insiden berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Jun 2017 @ 10:10 PM